Tel: 03-6188 4064 | E-Mel: info@yayasanmuslimin.org







Dikemaskini pada: 2015-08-21 21:32:16 | Ditulis oleh : Editor | Dibaca : 1180

Meninggalkan Perkara Yang Meragukan

Sabda Junjungan


Dari Abu Muhammad Husin bin Ali bin Abi Talib bahawa Rasulullah (s.a.w) bersabda yang bermaksud:

"Tinggalkan barang yang meragukan engkau kepada apa yang yang tidak meragukan engkau."

-Riwayat Tarmidzi dan Nasa`ie. Tarmidzi berkata hadis ini Hasan Sahih.


Hadis ini walaupun ringkas tetapi pengertiannya mengandungi nilai hukum yang tidak kurang pula pentingnya, kerana dengan berpedomankan petunjuknya seseorang dapat mengambil sikap yang teguh dalam menghadapi segala perkara yang meragukan hatinya sebagaimana yang akan dihuraikan di bawah ini.


Pada hadis tersebut, Rasulullah (s.a.w) menerangkan perkara yang meragukan atau yang mendatangkan syak di hati. Sabdanya mengenai perakara ini ialah; "tinggalkan barang yang meragukan engkau" iaitu perkara yang tidak menyenangkan perasaan kerana dalam pandangan engkau perkara itu tidak terang keadaannya dan yang demikian nyatalah kesamarannya.


Kemudian ambillah perakara yang tidak meragukan engkau, iaitu yang keadannya nyata hukumannya. Kesimpulannya, tinggalkan melaku sesuatu perkara atau perbuatan apa pun yang tidak menyenangkan hati dan fikiran. Sebaliknya kerjakanlah sesuatu yang mententeramkan iaitu yang yakin, kerana ini lebih sejahtera serta lebih terpelihara.


Sementara itu ada pula riwayat yang menerangkan erti perkara yang meragukan dan tidak meragukan. Menurut riwayat dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah pernah bersabda kepda seseorang lelaki akan hadisnya yang tersebut iaitu; "tinggalkanlah barang yang meragukan engkau." Di kala itu, lelaki tersebut terus bertanya; B'Bagaimana caranya aku dapat mengetahui hal itu? Rasulullah (s.a.w) menjawab;


"apabila engkau berkehendak melakukan sesuatu perkara, maka letakkanlah tangan engkau ke atas dada engkau. Kerana sesungguhnya hati itu gelisah kepada yang haram, dan tenang kepada yang halal."


Tetapi kegelisahan dan ketenangan itu adalah tertentu bagi orang yang kuat memelihara hukum tersebut, yang menjauhi dari segala yang syubhat dan berusaha meningkatkan dirinya dari darjah taqwa. Dan orang yang seperti inilah yang mempunyai perasaan ragu yang memandang sesuatu perkara itu shubhat atau pun tidak. Malahan orang yang demikian ini pula yang selalu meninggalkan yang halal kerana takut jatuh kepada yang haram, sebagaimana yang pernah dikatakan oleh Abu Dzar al-Ghiffari (r.a) iaitu;


"Kesempurnaan taqwa ialah meinggalkan sesetengah yang halal kerana takutkan yang haram."

 

Dan sebagaimana pernah ditanya orang kepada Ibrahim bin Adham, bahawa adakah ia merasa ingin minum air Zamzam? Ia menjawab' "Sekiranya ada timbaku sendiri, tentu aku meminumnya", Jawapannya itu bererti semua timba yang dipakai waktu itu adalah milik sultan yang dipandang olehnya harta syubhat, yang sama sekali tidak diskuainya kerana meragukan hatinya. Sebaliknya kalau timbanya sendiri, nescaya diminum air itu kerana kepunyaannya adalah haknya yang yakin halalnya yang tidak meragu-ragukan perasannya.

 

Sebaliknya, orang yang tidak merasa ragu terhadap sesuatu perkara kerana yang dipandang dan dihukumnya menurut yang lahir dan yang nyata serta tidak ada larangan yang tegas, maka orang yang seperti itu dapat melakukan sesuatu itu menurut apa yang telah diyakinkan.


Petikan buku Hadis Empat Puluh (Matan al-Arbain An-Nawawiyyah) oleh Mustafa Abdul Rahman.