Tel: 03-6188 4064 | E-Mel: info@yayasanmuslimin.org







Dikemaskini pada: 2015-09-23 16:03:07 | Ditulis oleh : Editor | Dibaca : 1229

Pemilikan Tanah: Islam lwn Konvensional (Bahagian 2)

CIRI-CIRI UNDANG-UNDANG TANAH ISLAM DAN ADAT MELAYU


Di antara ciri-ciri undang-undang tanah Islam dan adat Melayu yang diamalkan oleh orang-orang Melayu sebelum Sistem Torrens diperkenalkan adalah;


1.  Pembahagian tanah dan pemakaian istilah 'tanah hidup' dan 'tanah mati', mencerminkan konsep tanah mawat dan ihya` al-mawat dalam undang-undang tanah Islam.


2.  Pemilikan dan pemegangan tanah yang diasaskan kepada usaha menebang dan menebas tanah rimba dan mengusahakan tanah itu secara beterusan, juga dipengarushi oleh konsep ihya` al-mawat dalam Islam.


3.  Penentuan tempoh tiga tahun atau tempoh masa yang munasabah atau berpatutan bagi menentukan pemilikan seseorang terhadap tanah adalah dipengaruhi oleh konsep tahjir dalam undang-undang tanah Islam, dengan dipadankan kepada pendapat mazhab Syafi`e dalam masalah tersebut.


4.  Kewajipan tuan punya tanah membayar hasil sebanyak satu persepuluh kepada Raja mencerminkan kewajipan membayar zakat atau `usyr sebanyak satu persepuluh dalam undang-undang Islam.


5.  Peruntukan yang meletakkan syarat bahawa orang-orang Islam sahaja berhak memiliki tanah menerusi usaha menebas hutan rimba yang belum dimiliki, jelas mencerminkan pengaruh pendapat Mazhab Syafi`e.


6.  Dasar dan tujuan pemilikan tanah yang bertujuan untuk memakmurkan tanah bagi kepentingan ummah selaras dengan kehendak nas al-Quran (Surah Hud (11):61) dan undang-undang tanah Islam yang tersirat dalam konsep ihya` al-mawat, tahjir dan iqta`. Dasar ini juga selaras dengan amalan Khulafa` al-Rasyidin, khususnya tindakan Khalifah Umar al-Khattab (r.a) terhadap tanah Bilal bin al-Harith al-Muzni.


7.  Pemilikan tanah melalu cara 'ampun kurnia' daripada raja kepada rakyatnya juga mencerminkan prinsip iqta` tanah oleh pemerintah dalam undang-undang tanah ISlam.


8.  Wujudnya hak milik bersama (joint proprietorship) atau 'hak sekutu' seperti tanah disebutkan oleh WE Maxwell dalam Undang-undang Perak, mencerminkan prinsip undang-undang tanah dalam Islam. Dalam hak bersama (hak sekutu), kedua-dua atau lebih tuan punya tanah mesti bersetuju dengan penjualan tanah-tanah mereka kepada penerima pindah milik atau pembeli berkenaan da hanya dengan cara ini pindah milik berkenaan dianggap sah. Jika pindah milik itu berlaku tanpa persetujuan pemilik-pemilik bersama, maka pindah milik itu dianggaptidak sah. Prinsip ini mencerminkan prinsip syuf`ah (pre-emption) dalam undang-undang tanah Islam.


9.  Urusniaga jual janji yang menjadi amalan orang-orang Melayu bagi mengelakkan mu`amalat mereka dengan riba (faedah) mempunyai persamaan dengan transaksi bai bil wafa yang telah menjadi undang-undang dan dianggap sah oleh segolongan ulamak mazhab Hanafi (lihat Perkara 118, Majalah al-Ahkam al-Adliyyah), dan


10.  Perlaksanaan hukum-hukum pewarisan Islam (faraid), wasiah, hibah, wakaf dan lain-lain oleh orang-orang Melayu jelas berpandukan kepada undang-undang Islam semenjak sebelum dan selepas penjajahan Inggeris dan beterusan hingga ke hari ini. (Mohd. Ridzuan hlm. 412-413).

 

ISU SYARIAH DALAM KANUN TANAH NEGARA 1965


Perlaksanaan sistem Torrens di Malaysia mulai tahun 1966 telah mengenepikan prinsip undang-undang tanah Islam dan sistem pemegangan tanah menurut adat Melayu. Sistem Torrens ini telah dilaksanakan di negara ini selama satu abad dan ia mempunyai beberapa kebaikan dan kelemahan tertentu, terutamanya apabila ditinjau dari aspek undang-undang tanah ISlam dan perkembangan perundangan ISlam semasa.


Oleh kerana itu, menjadi tanggungjawab dan kewajipan pihak-pihak tertentu untuk memperbetulkan dan memperbaiki mana-mana peruntukan yang kurang baik, dan tidak selaras dengan undang-undang ISlam atau lebih tepat lagi peruntukan yang bercanggah dengan undang-undang ISlam (syariah). Isu Syariah yang perlu dikaji semula dan diselaraskan dengan peruntukan Kanun Tanah Negara 1965 dapat dilihat dalam aspek-aspek berikut;


1.  Kuasa Pihak Berkuasa Negeri berhubung dengan pemilikan tanah


Kusa Pihak Berkuasa Negeri seperti diperuntukan dalam seksyen 40 Kanun Tanah Negara adalah terlalu luas dan bersifat mutlak. Akibatnya telah banyak berlaku penyelewangan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, diskriminasi dan pilih kasih dalam pelupusan dan pemberian milik tanah kerajaan kepada rakyat. Bagi mengelakkan percanggahan peruntukan tersebut dengan konsep pemilikan harta dalam ISlam, di mana kerajaan hendaklah bertindak sebagai wakil atau pemegang amanah terhadap harta milik Allah (SWT) untuk kegunaan dan kemudahan seluruh umat manusia di alam ini.

 

Dengan itu dicadangkan supaya kuasa Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dihadkan dan dikhususkan kuasa dan tindakan PBN itu sebagai 'pemegang amanah' untuk mengagihkan tanah dan sumber semulajadi untuk faedah semua manusia. Pindaan boleh dibuat sama ada melalui 'preamble' Kanun Tanah Negara atau Seksyen 40 itu sendiri. Pindaan ini boleh memberi satu kesedaran kepada PBN dan tuan punya tanah bahawa mereka adalah pemegang amanah Allah dan amanah ini hendaklah ditunai dengan jujur dan rasa penuh tanggungjawab kerana ia akan dipersoalkan kelak.

 

2.  Dasar Perlupusan tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri


Dasar perlupusan tanah oleh PBN melalui kuasa di bawah peruntukan Seksyen 42 untuk diberi milik kepada mereka yang disenaraikan di bawah Seksyen 43 adalah terlalu luas, termasuk warganegara dan bukan warganegara. Pindaan Kanun Tanah Negara pada tahun 1985 yang menghadkan pemilikan syarikat asing atau warganegara asing terhadap tanah pertanian adalah selaras dengan kehendak undang-undang Islam.


Islam melihat dasar pemilikan adan perlupusan tanah kepada bukan warganegara mempunyai kaitan dengan'penguasaan dan penaklukan' mereka dalam sebuah negara Islam. Oleh itu, dasar pemilikan tanah oleh syarikat asing dan warganegara asing hendaklah diperluaskan kepada tanah-tanah kategori penggunaan yang lain seperti kediaman dan perindustrian.

 

3.  Pemberian milik secara pegangan pajakan (leasehold) oleh PBN


Pindaan Seksyen 76 pada tahun 1984 yang berkuatkuasa pada tahun 1985 memperuntukan bahawa PBN boleh memberi milik tanah kerajaan untuk satu tempoh yang tidak lebih dari 99 tahun, kecuali untuk Berkuasa Awam yang memerlukan pemberian milik untuk selama-lamanya. Pindaan ini mempunyai implikasi tertentu di bawah Kanun sekiranya tempoh pajakan itu tidak diperbaharui, atau jika diperbaharui satu premium baru hendaklah dibayar kepada PBN.


Jika tempoh pajakan itu tidak diperbaharui maka menurut Seksyen 46, tanah tersebut akan kembali dan terletak hak kepada PBN. Kemudian menurut Seksyen 47, apabila berlaku pengembalian tanah beri milik atas sebab penamatan pajakan dan sebagainya, maka bangunan kekal yang terletak di atas tanah itu akan terletak hak kepada PBN dan PBN tidak akan membayar apa-apa pampasan kepada tuan punya terhadap tanah dan bangunan yang terletak hak.


Di antara isu syariah yang timbul akibat pindaan Seksyen 76 dan peruntukan Seksyen 47 adalah dalam aspek-aspek berikut;


a.  Persoalan jual beli tanah dan hartanah sama ada sah atau sebaliknya.


b.  Persoalan masjid yang didirikan di atas tanah pegangan pajakan yang sepatutnya didirikan di atas tapak/tanah pegangan bebas.


c.  Persoalan wakaf yang sepatutnya dibuat atas tanah milik kekal dan untuk selama-lamanya.


Mengikut prinsip umum Islam atau undang-undang tanah Islam, pemberian milik tanah-tanah tersebut di atas seperti untuk tapak masjid, surau, tapak rumah kediaman dan wakaf hendaklah dibuat dalam bentuk kekal iaitu selama-lamanya (in perpetuity).

 

Bagi menyesuaikan Seksyen 47 dengan kehendak hukum Islam/syarak, maka PBN hendaklah membayar pampasan bagi rumah kediaman yang dibina di atas tanah pegangan pajakan yang telah tamat tempohnya.

 

Bersambung...