Tel: 03-6188 4064 | E-Mel: info@yayasanmuslimin.org







Dikemaskini pada: 2015-10-05 23:17:10 | Ditulis oleh : Editor | Dibaca : 1137

Mata Wang Islam Satu Lintasan Sejarah (Bahagian 2)

Pada zaman pemerintahan Bani Umayyah (661-750M), satu perkembangan unik yang berlaku ialah terbinanya kilang-kilang percetakan mata wang Islam yang berlandaskan dinar dan dirham; yang mengambil bentuk Arab-Islam sebagai modelnya. Kilang-kilang mencetak mata wang ini telah dibina di kota-kota utama seperti kota Damsyik (pusat pemerintahan Bani Umayyah), Mesir, Andulisia (Eropah) dan Wasit (Iraq).


Khalifah Bani Umayyah yang kelima, Khalifah Abdul Malik bin Marwan (685-705M) telah mengarahkan percetakan mata wang dinar dan dirham di Damsyik pada tahun 691M dan 692M. Pada tahun 693M hingga 696M, mata wang tersebut telah diulang cetak di Mesir, Andalusia dan Wasit. Kedua-dua mata wang tersebut mencatatkan khalifah menggantikan figura haiwan dan wajah pemimpin; yang menjadi tradisi mata wang dinar Rom Timur dandirham parsi itu.


Tokoh-tokoh Bani Umayyah yang lain seperti Gabenor Iraq, Hajjaj Yusuf al-Thaqafi telah mengarahkan percetakan dirham di Kota Kufah manakala Gabenor Mesir, Abdulal-Aziz bin Marwan telah mengarahkan percetakan mata wang dinar di Fustat. Khalifah Abdul Malik bin Marwan juga telah melakukan satu perkembangan yang menarik pada tahun 704M iaitu mengarahkan agar dinar quqi distandardkan kepada 4.25 gram daripada 4.55 gram yang dilaksanakan oleh khalifah-khalifah Bani Umayyah yang terdahulu. Dirham Baqhli pula ditetapkan kepada antara 2.91 gram hingga 2.95 gram daripada berat asal 3.98 gram. Dirham jenis ini mengambil model dirham Parsi terutamanya pada zaman pemerintahan Maharaja Parsi seperti Maharaja Yedzdigard III, Hormuzd IV dan Khusraw II; tetapi menggunakan tahun Hijrah dan nama Khalifah Bani Umayyah. Mata wang yang diperbuat daripada tembaga dan dikenali sebagai Fals; yang mempunyai seni khat kufi itu; turut digunakan sebagai mata wang pada zaman ini.


Pada zaman Bani Abbasiyah (750-1258M), kilang-kilang mencetak matawang Islam didirikan di banyak kawasan seperti Kota Baghdad. Khalifah al-Makmun (813-833M) telah bertindak untuk membina kilang penyelaras mencetak mata wang dinar dan dirham di Kota Baghdad. Setiap mata wang tersebut mempunyai nama khalifah yang memerintah. Sebelum ini mata wang dicetak disemua bandar besar di seluruh dunia Islam.


Selepas kejayatuhan kerajaan Bani Abbasiyah, mata wang ialah Rafi Emas atau ash-rafi yang dicetak bangi menggantikan penggunaan mata wang dinar. Rafi emas telah diedar secara meluas khususnya di India. Dinar emas terakhir yang dicetak ialah di Baghdad pada rahun 1258M. Perkataan dinar tidak lagi kelihatan pada mata wang emas itu sejak tahun 1262M.


Kerajaan Turki Uthmaniyyah (1281M hingga 1920-an) turut menjadikan perak dan emas seabagai mata wang utama. Mata wang perak dikenali sebagai Asper (ak-che) manakala mata wang daripada emas dikenali sebagai ducat (du-kat). Dari segi nilai, 40 asper bersamaan dengan 1 ducat; yang berubah-ubah mengikut zaman dan keadaan, malahan terdapat juga mata wang emas khas yang digelar"Sultani". Mata wang Sultani ini telah mula digunakan pada tahun 1477M pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Abu al-Fatih atau Mehmet The Conqueror (1450-1481M). Selain itu mata wang tembaga yang dikenali sebagai "mangir" turut berada di pasaran untuk kegunaan masyarakat umum.


Di India, mata wang emas yang digelarTanka telah digunakan secara meluas untu kesemua tujuan terutamanya pada zaman pemerintahan Nasiruddin Mahmud (1246-1265M) daripada kerajaan Makluk (1206-1290M).

 

Mata wang di alam Melayu


Secara umumnya, kerajaan-kerajaan negeri di Alam Melayu menggunakan mata wang yang diperbuat daripada timah, emas, perak dan tembaga. Kerajaan Samudera-Pasai dan Aceh telah menggunakan dinar emas; yang terlalu kecil saiznya dan berhuruf Arab pada tahun 1295M.
Terdapat pelbagai bentuk mata wang Islam seperti bentuk buaya, kura-kura, kerbau, ayam dan ikan. Mata wang timah ini pada zaman Melaka; misalnya berbentuk syiling iaitu bulat dan beratnya satu kati lapan tahil. Nama sultan yang memerintah serta tarikh Islam dicatat pada mata wang itu dalam huruf jawi seperti mata wang dengan nama Sultan Muzaffar Shah (1445M). Mata wang ini hanya dibuat oleh para pembuat wang diraja. Duit kasha (duit syiling timah) ini mencatatkan nama baginda di bahagian hadapan manakala di bahagian belakangnya tercatat tulisan Arab "Nasir al-Dunia wa`l-Din" yang bermakna Khalifah Dunia dan Agama Islam.


Mata wang dari Pasai, Hormuz dan Cambay turut digunakan di Melaka serta boleh ditukarkan dengan mata wang tempatan. Do Johor; juga terdapat mata wang yang diperbuat daripada timah dan dikenali sebagai wang katun. Mata wang ini berbentuk bulat atau segi enam; tanpa tarikh tetapi mempunyai huruf jawi atau Arab seperti kalimah Malik atau Sultan al-Adil.


Duit syiling pertama yang dikeluarkan di Johor adalah kupang emas yang berbentuk srgi lapan iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Ridayat Shah 11 (1527-1564M). Di Kedah, mata wang timahnya berbentuk seekor ayam jantan yang hinggap di atas beberapa cincin. Mata wang ini boleh dipatah-patahkan dan digunakan secara berasingan. Selain timah, terdapat juga mata wang yang diperbuat daripada emas. Mata wang emas yang digunakan di Kelantan dikenali sebagai dinar matahari atau kijang emas kerana terdapat gambar kijang pada muka wang emas tersebut.


Mata wang emas di Johor digelar kupang dan seberat 0.65 grm atau 2.6 grm. Setiap mata wang emas tertera nama dan pangkat sultan yang memerintah dan yang mengeluarkan mata wang tersebut. Di bahagian belakang mata wang itu tertulis gelaran Islam sultan berkenaan seperti Khalifatul Muslimin.

 

Penggunaan mata wang

Penggunaan mata wang sebagai perantaraan nilai barangan secara langsungnya telah memudahkan urusan perdagangan dan jual beli. Sistem penggunaan mata wang ini merupakan alternatif kepada sistem pertukaran barang atau barter.


Secara umumnya, mata wang digunakan untuk beberapa tujuan utama iaitu untuk tujuan simpanan, jual-beli, mas kahwin dan sebarang bentuk pembayaran bagi barangan dan perkhidmatan.


Mata wang dinar dan dirham merupakan satu bentuk simpanan berharga di kalangan masyarakat sejak zaman berzaman, terutamanya di kalangan masyarakat Islam. Hal ini disebabkan, pada masa itu inilah mata wang utama yang berada di pasaran dan sah digunakan untuk semua tujuan dan kegiatan. Tokoh korporat terkemuka, Saidina Uthman bin Affan; telah menghadiahkan sebanyak 950 ekor unta dan 1000 dinar daripada wang simpananya untuk membiayai ekspedisi Perang Tabuk pada tahun 631M. Sejarah telah mencatatkan bahawa simpanan dalam Baitul Mal pada zaman pemerintahan Khalidah Abu Jaafar al-Mansur (754-775M) dari kerajaan bani Abbasiyah adalah berjumlah 810,000.000 dirham.


Emas dan perak merupakan mata wang yang paling stabil yang pernah wujud di dunia hari ini, kerana selama 14000 tahun mata wang ini digunakan sebagai mata wang utama, dunia Islam mengalami inflasi sifar. Seekor ayam yang dibeli pada masa hayat Rasulullah (s.a.w) dengan harga 1 dirham, masih boleh dibeli dengan harga yang sama pada hari ini; jika dirmah digunakan sebagai mata wang.


Mata wang turut digunakan sebagai satu bentuk alat perantaraan pertukaran iaiatu sebagai mas kahwin dalam sesuatu perkahwinan. Sejarah telah mencatatkan bahawa Rasulullah (s.a.w) telah menerima tokoh korporat Makkah; Saidatina Siti Khadijah binti Khuwailid, dengan mas kahwin sebanyak 500 dirham.


Mata wang juga turut berperanan sebagai satu bentuk pembayaran gaji. Gaji dibayar kerana menghargai perkhidmatan dan tanggungjawab seseorang yang telah melaksanakan tugas. Sejarah mencatatkan bahawa Khalifah Abu Bakar al-Siddiq 9632-634M) telah menerima gaji sebanyak 2500-3000 dirham setahun. Khalidaf Umar al-Khattab pernah membayar upah dan gaji tentera lelaki Muhajirin dan Ansar sebanyak antara 3000 hingga 50000 dirham setahun.


Pada zaman Bani Abbasiyah yang terkenal dengan kemewahan itu pula, gaji muaddib (guru) adalah berbeza-beza mengikut tingkatan mereka iaitu kira-kira 1000 dirham sebulan manakalan terdapat hakim yang menerima gaji 168 dinar sebulan pada zaman pemerintahan Khalifah al-Makmun bin Harun al-Rasyid (813-833M).


Mata wang turut berperanan sebagai alat pembayaran dalam urusan peribadatan keagamaan dan kemasyarakatan seperti membayar zakat, jizyah, kharaj dan diyat (denda ganti nyawa). Agama Islam telah menetapkan hukum syarak nerkenaan emas dan perak dan mengkategorikan kedua-duanya sebagai mata wang serta sebagai harga untuk pelbagai barangan dan perkhidmatan. Sebagai contoh, setelah cukup syarat pemilikan dan wakib zakat, seseorang yang menyimpan emas 20 dinar dikenakan zakat sebanyak 1/2 dinar.

 

Pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, jumlah pungutan jizyah daripada kalangan pembayar jizyah yang berkelayakkan di wilayah Hijrah kepada pemerintahan Islam di Madinah berjumlah 19 ribu dirham setahun, manakala Khalifah Umar al-Khattab mengarahkan pembayaran jizyah; sama ada 1, 2 atau 4 dinar mengikut kemampuan individu yang berkelayakan di Syria. Bagi diyat (menyebabkan kamatian tanpa disengajakan) pula kadarnya ialah 1000 dinar atau 12 ribu dirham; itupun jika dipersetujui oleh waris mangsa yang dibunuh.

 

Penutup


Sejarah dan penggunaan mata wang turut mengalami turun-naik berikutan dengan arus perkembangannya. Emas dan perak telah digunakan sebagai mata wang Islam sehinggalah kejatuhan Turki uthmaniyyah pada tahun 1920-an.


Mata wang Islam melalui pelbagai proses evolusi sebelum mempunyai nilai dan teknik pengeluaran yang mantap.


Ciri mata wang Islam pada tahap awal didapati cuba menerapkan ciri-ciri mata wang Room Timur dan Parsi sebelum diperkembangkan dengan ciri-ciri Arab-Islam.


Penggunaan mata wang Islam ini adalah untuk memelihara dan menjamin perimbangan sosial dengan tujuan untuk menegakkan keadilan bagi seluruh manusia; yang melibatkan segala aspek kehidupan; terutamanya perjalanan perekonomian Islam dan pengurusan politik dan sosial ummah.


Sampel-sampel mata wang Islam sepanjang zaman seperti dinar, dirham, ducat dan asper telah disimpan di pelbagai muzium dan agensi numismatik (pusat pameran duit syiling) seperti di Leningrad (Rusisia), Kaherah, Baghdad, London (United Kingdom) dan Paris untuk kajian dan tatapan generasi umum. Hal ini bermakna mata wang turut berperanan cemerlang bagi menonjolkan aspek ketamadunan Islam yang unggul kepada seluruh masyarakat dunia.

 

-Tamat-

 

SHAMSUL HAMRI BIN SULAIMAN ialah seorang pendidik dan berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Universiti Malaya.

 

Rujukan;

Kamus Ekonomi, 1993, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB).

Mahayudin Yahya, 1998, Tamadun Islam, Shah Alam, Penerbit Fajar Bakti Sendirian Berhad.

Mahyudin Yahya dan Ahmad Jelani Halim, 1995, Sejarah Islam, Shah Alam, Penerbit Fajar Bakti Sendirian Berhad.

Muhammad Yusoff Hashim, 1989, Kesultanan Melayu Melaka, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sivachandralingam S.Raja dan Ayadurai L, 2001, Tamadun Dunia, Shah Alam, Penerbit Fajar Bakti Sendirian Berhad.

Wan Abudul rahman Latif (et.al), 1996, Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).