Tel: 03-6188 4064 | E-Mel: info@yayasanmuslimin.org







Dikemaskini pada: 2017-09-29 18:56:04 | Ditulis oleh : Editor | Dibaca : 35

Wakaf sumnber ekonomi, pahala

Oleh: Ahmad Shukri Yusoff (Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources)


Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kamu tidak akan sekali-sekali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi dan sesuatu apa juga yang kamu dermakan makan sesungguhnya Allah mengetahui." (Surah Ali-Imran, ayat 29)

 

Menerusi ayat itu Allah SWT memperkenalkan ciri-ciri orang yang benar-banar beriman iaitu bercita-cita untuk mendermakan harta yang disayangi ke jalan Allah SWT dengan niat tulus ikhlas.

 

Apabila Abu Talhah mendengar ayat itu, berliau terus bercadang untuk mewakafkan hartanya lalu meminta pendapat lanjut daripada Nabi SAW.

 

 

Anas RA menceritakan ketika turunnya ayat al-Quran di atas, Abu Talhah terus datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: "Wahai Rasulullah, Allah  SWT telah berfirman di dalam kitab-Nya yang bermaksud: "Kamu tidak sekali-sekali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Bagiku, harta yang paling aku kasihi adalah di Bairuha` (sebuah kebun yang sering diziarahi Rasulullah SAW. Baginda sering beteduh dan minum air di dalamnya), maka ia kini adalah hak Allah SWT dan Rasulullah SAW. Aku mohon semoga beroleh kebaikan dan ganjarannya. Wahai Rasulullah, gunakanlah harta ini di mana sahaja yang kamu mahu." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

 

Sedekah yang kekal

 

Ulama menafsirkan antara maksud sedekah jariah sebagai wakaf. Amalan wakaf telah menjadi budaya dalam kalangan sahabat sehinggakan Jabir pernah berkata: "Tidak ada seorang pun dalam kalangan sahabat yang berkemampuan tetapi tidak mewakafkan hartanya."

 

Sebenarnya istilah wakaf tidak disebut secara langsung dalam al-Quran atau hadis. Ia adalah tafsiran fuqaha berkaitan makna sedekah jariah yang diertikan sebagai memberikan sesuatu harta semasa hidupnya dan penggunaannya kekal untuk selama-lamanya.

 

Dari segi bahasa, wakaf berasal daripada perkataan Arab waqafa yang bererti berhenti, al-habs iaitu menahan semata-mata atau al-Man bermaksud menegah. Selain itu, wakaf ditakrifkan juga sebagai habsun atau habasa, ahbasa iaitu tahan atau menahan sesuatu harta untuk mendapatkan manfaat.

 

Istilah ini banyak digunakan dalam kitab fiqh mazhab Maliki. Ia dinamakan habsun kerana hanya manfaatnya sahaja yang boleh dimiliki oleh individu sedangkan hak sebenar harta itu adalah milik Allah SWT.

 

Untuk manfaat semua

 

Dari segi istilah, terdapat banyak pengertian wakaf antaranya menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seorang pengguna yang harus dan wujud.

 

 

Jumhur fiqaha memberikan takrif wakaf sebagai menahan harta seseorang untuk dimanfaatkan orang lain dengan terputus hak milik ke atas harta itu. harta yang diwakafkan mestilah dalam keadaan baik dan ditujukan untuk kebajikan semata-mata bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Harta itu akan tertahan sebagai hak milik Allah SWT.

 

Menurut Mazhab Syafie, wakaf ialah menahan harta seseorang yang bermanfaat untuk dimanfaatkan orang lain dengan perkara yang diharuskan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT yang terputus hak milik wakaf atau pewakaf ke atas harta itu.

 

Berdasarkan takrif ini, status pemilikan harta oleh pewakaf akan terputus dan menjadi hak milik Allah SWT selama-lamanya, manakala pemilikian manfaat pula kepada orang ramai tanpa suatu tempoh masa tertentu.

 

Ikut kesesuaian masa

 

Justeru, fuqaha telah bersepakat inilah hakikat wakaf dalam Islam di mana harta diwakafkan tidak boleh dijual, digadai, dihibah dan diwarisi oleh orang lain.

 

Antara maqasid dan kepentingan berwakaf ialah mengingatkan kita kepada balasan di akhirat dengan cara mewakafkan sebahagian hasil diperolehi di dunia semata-mata mendapatkan keredaan Allah SWT.

 

Di samping itu akan dapat melahirkan rasa syukur terhadap nikmat Allah SWT yang tidak pernah putus. Sistem wakaf juga menjamin keperluan bantuan secara tetap dan beterusan kerana ia adalah sumber kewangan tetap daripada aset yang diwakafkan.

 

Menerusi amalan berwakaf boleh mendidik masyarakat bergandingan bahu menyumbang demi kebaikan ummah.


Dalam keadaan ekonomi yang berkembang pesat ini, terdapat pelbagai projek yang memberi manfaat yang boleh dilaksanakan. Bersesuaian konteks semasa, wakaf telah berkembang kepada skim saham lebih mudah untuk semua lapisan masyarakat.

 

-Tamat-


http://ewakaf.my/v1/