Tel: 03-6188 4064 | E-Mel: info@yayasanmuslimin.org







Dikemaskini pada: 2017-09-30 21:12:28 | Ditulis oleh : Editor | Dibaca : 64

Berhijrahlah Kerana Menjaga Agamamu

Oleh: Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani


Masa berlalu begitu pantas, hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Hari ini kita sudah mula melangkah ke tahun 1439H dan 2017M. Tahun-tahun yang berlalu menandakan umur kita semakin meningkat dan usia semakin singkat.

 

Maka, manusia seharusnya melakukan perubahan dalam hidup. Dalam erti kata lain, manusia perlu berhijrah daripada yang baik kepada yang lebih baik. Jika sebelum ini, dia banyak melakukan maksiat dan dosa maka tahun ini dia hendaklah kembali, bertaubat dan berhijrah.

 

Dalam sejarah Islam, hijrah Nabi s.a.w. bersama para sahabat dari kota Makkah ke kota Madinah menjadi satu peristiwa yang sangat bermakna dan penting bagi umat Islam. Para sarjana sirah nabawi banyak menulis tentang rahsia, manfaat serta pengajaran daripada peristiwa hijrah Baginda s.a.w. dan bagaimana ia dapat disesuaikan dengan masa sekarang.

 

Bilakah Tarikh Hijrah Nabi?

 

Berdasarkan fakta, peristiwa hijrah tidak berlaku pada bulan Muharam, namun menjadi kelaziman umat Islam memperingatinya bulan ini. Menurut riwayat al-Bukhari, Ibn Ishaq, al-Hakim dan lain-lain, menjelaskan bahawa Baginda s.a.w. tiba di Madinah pada hari Isnin, 12 Rabiulawwal tahun ke-14 daripada kebangkitan Rasulullah s.a.w. (iaitu tahun pertama Hijrah) bersamaan dengan 23 September 622 Masihi. (Rujuk al-Fath 15/97-99, no. 2906, 15/119 no. 3925, Ibn Hisyam 2/156-157, al-Mustadrak 3/11)

 

Al-Qardawi menyebutkan bahawa Umar bin al-Khattab r.a. dan orang Islam pada zaman beliau diberi ilham menjadikan permulaan tarikh Islam (tahun Hijrah) daripada peristiwa hijran Nabi s.a.w. Walaupun hijrah tidak berlaku pada bulan Muharam, namun Umar dan sahabat-sahabat lain memulakan tahun Hijrah daripada Muharam, iaitu daripada awal Muharam.

 

Konsep Hijrah

 

Hijrah dari segi baha adalah bermaksud meninggalkan sesuatu dan ia merupakan perkataan yang berlawanan dengan al-wasl (hubung atau sambung). Seseorang yang meninggalkan sebuah tempat dinamakan muhajir (orang yang berhijram). Maka hijrah bermaksud perpindahan dari satu tempat ke satu tempat lain.

 

Namun konsep hijrah adalah lebih luas daripada perpindahan fizikal dari satu tempat ke tempat lain sahaja. Syeikh al-Uthaimin menjelaskan konsep hijrah mencakupi hijrah tempat, hijrah perbuatan, dan hijrah (permulaan) manusia. (Sharh Riyad al-Salihin, 1/13)

 

Manusia perlu berhijrah dari tempat yang penuh dengan kamaksiatan, kefasiqan, dan kekufuran ke tampat yang penuh dengan kebaikan serta keimanan. Bahkan segelintir ulama mewajibkan hijrah dari negeri kufur ke negeri Islam sekiranya ia tidak  mampu menzahirkan agamanya di sana. Jika ia mampu menzahirkan Islam, maka hijrah tidak wajib ke atasnya, tetapi hukumnya menjadi sunat. Ini ialah Hijrah al-makan atau hijrah tempat.

 

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, manakala sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang akan diperoleh atau wanita yang akan dinikahi, maka hijrahnya hanyalah kerana apa yang ia hijrah keapdanya (inginkan)."

 

Manusia juga perlu berhijrah daripada perbuatan buruk kepada perbuatan baik. Hijrah daripada amalan jahat kepada amalan soleh. Ini ialah hijrah al-amal atau hijrah perbuatan. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Orang Muslim sebenar ialah orang yang menyelamatkan orang lain daripada kejahatan lidah dan tangannya. Dan muhajir (orang yang berhijrah sebenar) ialah mereka yang berhijrah daripada apa yang dilarang Allah (kepada yang baik).” (Riwayat al-Bukhari no. 10)

 

Hijrahlah daripada segala kerja-kerja haram yang dilarang Allah sama ada berkaitan dengan hak Allah atau hak manusia. Maka wajib berhijrah daripada sifat cela-mencela, kata-mengata atau umpat mengumpat kepada kata-kata baik. Hijrahlah daripada perbuatan haram kepada perbuatan yang baik.

 

Selain itu, dalam keadaan tertentu, sesetengah orang perlu dihijrahkan, perlu dipulaukan kerana kejahatan yang mereka lakukan. Ini ialah hijrah al`amil atau hijrah manusia pembuat. Contohnya mereka yang melakukan maksiat secara terang-terangan, disyariatkan kita memulaukannya jika ada maslahat dan faedah dalam pemulauannya.

 

Ketiga-tiga bentuk hijrah yang dinyatakan menunjukkan keluasan konsep hijrah dalam Islam.

 

Hijrahlah Kerana Manjaga Agama

 

Mengapa manusia itu perlu berhijrah dari satu tempat ke satu tempat atau daripada perbuatan buruk kepada perbuatan baik? Apa yang ingin ditekankan di sini ialah maqasid penghijrahan. Mengapa kita juga perlu berhijrah sama ada hijrah perbuatan atau hijrah tempat? Sebagaimana diketahui, mawasid hifz paling asasi dalam senarai susunan lima maqasid al-syari`ah.

 

Jika dihayati secara mendalam tentang peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w. dan juga konsep hijrah dalam Islam, kita dapati bahawa maqasid utama dalam penghijrahan ialah memelihara agama Islam. Sudah terpahat dalam lipatan sejarah, selepas Rasulullah s.a.w. menghadapai kemuncak tekanan daripada pihak Musyrikin Makkah, Baginda mula menari tempat prlindungan di luar Makkah. Ini kerana tekanan yang dihadapi Baginda membantutkan perkembangan risalah Islam. Justeru, bagi memastikan perkembangan Islam berjalan lancar, Baginda terpaksa berhijrah dan mengarahkan para sahabat berhijrah bermula dengan hijrah ke Habsyah, hijrah ke Taif dan terakhir ialah hijarah ke bumi Madinah. (Dr. Mahdi Rizqullah, al-Sirah al-Nawabiyyah, hlm. 257)

 

Baginda berhijrah ke Madinah bagi memastikan kesinambungan agama Islam terus kekal dan dapat ditegakkan sebuah masyarakat Islam. Hal ini turut dijelaskan oleh al-Buti dalam karya beliau Fiqh al-Sirah mengenai penghijrahan hijrah.

 

“Sesungguhnya agama, berpegang dengannya dan menegakkan sendi-sendinya merupakan asas dan sumber kepada  semua kekuatan. Ia juga merupakan pagar untuk melindungi setiap hak sama ada harta, tanah, kebebesan atau kehormatan… apabila agama sudah hilang atau dikalahkan, maka tiada lagi erti negeri, tanah air dan harta kekayaan.” (al-Buti, fiqh al-Sirah, hlm. 140)

 

Ini menunjukkan bahawa agama merupakan asas kepada hijrah yang ingin dilakukan oleh Baginsa s.a.w. dan para sahabat. Termasuklah juga hijrah yang ingin dilakukan oleh kita sebagai umat Islam, dasarnya mestilah kerana Allah dan kerana agama.

 

Lumranya bagi seseorang yang ingin berhijrah daripada sikap buruk kepada sikap baik, kadangkala memerlukan kepada poerpindahan dari bi`ah ghayr solehah kepada bi`ah solehah. Dengan kata lain, ia perlu mencari persekitaran bain dan berpindah ke sana. Hal ini kerana persekitaran yang sihat memberi kesan positif kepada pertumbuhan hidayah dan takwa dalam hati.

 

Demikian juga dapat difajami melalui hadis yang mengisahkan seorang lelaki pada zaman dahulu yang ingin bertaubat keran atelah membunuh 22 orang. Selepas ia bertanyakan rahib tentang cara bertaubat, ia bertemu pula seorang ulama dan bertanyakan bagaimanakah caranya untuk bertaubat, maka ulama tersebut menyuruhnya agar berhijrah ke sebuah negeri yang mempunyai biah yang solehah, negeri yang didiami oleh orang soleh. (Riwayat al-Bukhari, no. 3470 dan Muslim no. 7184)

 

Ini menunjukkan ia perlu berhijrah dari persekitaran buruk ke persekitaran baik agar agamanya dapat dibentuk dan dapat dopelihara.

 

Hukuman Taghrib Mengandungi Maqasid Hijrah

 

Dalam tiga jenayah Islam, terdapat satu hukuman takzir yang dinamakan taghrib. (al-Mawsuah al--Fiqhiah, 14/45) Taghrib atau istilah lain al-nafyu ialah hukuman buang negeri. Menurut undang-undang jenayah Islam terhadap penzina, hukuman bagi penzina yang ghayr muhsan (masih dara atau teruna) ialah sebat 100 kali dan dibuang negeri setahun.

 

Ada sedikit perbahasan sarhana fiqah mengenai hukuman taqhrib ini, adakah ia termasuk dalam hudud atau takzir? Namun perkara yang cuba ditonjolkan dalam ruangan ini ialah apakah maqasid atau hikmahnya.

 

Para sarjana Islam menegaskan hikmahnya ialah agar penzina tersebut tidak mengulangi perbuatannya kerana sebab berjauhan dari tempat yang ia biasa dengan maksiat tersebut. Ini menunjukkan hukuman taghrib ini juga mengandungi maqasid hijrah sebagaimana yang telah dijelaskan. Oleh sebab itu, kadangkala, seseorang itu perlu berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain bagi menjaga agamanya untuk mengelakkannya terpengaruh dengan anasir jahat di tempat asalnya.

 

Para sarjana fiqah juga menjelaskan bahawa hukuman takzir melalu taghrib ialah berdasarkan kepada hukuman yang duputuskan Nabi s.a.w. dalam kes mengusir golongan mukhannath (pondan). Al-Bukhari merekodkan hadis no. 5887 yang menceritakan tentang kisah Rasulullah s.a.w.  pernah mendapati ada seorang lelaki pondan dalam rumah Ummu Salamah. Nabi bersabda tentang mereka yang bermaksud: “ Janganlah mereka (pondan) memasuki rumah kamu.”

 

Tokoh hadis terkenal, Ibn Hajar al-Aswalani menerangkan bahawa hadis ini menunjukkan pensyariatan hukuman mengusir atau buang negeri setiap orang yang boleh menggangu orang lain sehinggalah ia boleh berubah dan bertaubat. (Fath al-Bari, 16/476).

 

Selain itu, ada riwayat menceritakan bahawa Umar al-Khattab r.a. juga pernah mengusir dan menghalau orang yang telah memalsukan cop mohor Baitulmal untuk mengambil harta daripada khazanah Baitulmal. (Ibn Qudamah, al-Mughni, 9/149)

 

Semua ini menunjukkan perpindahan yang dilakukan dengan mengusir penjenayah bertujuan memelihara agamanya, agar ia bertaubat dan tidak mengulangi dosanya. Begitulah juga yang ada dalam hijrah, hijrah bermatlamatkan menjaga dan memelihara agama.

 

Oleh sebab itulah, sempena kedatangan tahun baru 1439H, marilah sama-sama memperingat tujuan pensyariatan hijrah dalam Islam. Semuanya adalah kerana memelihara agama dan  menyuburkan lagi penghayatan agama dalam diri seseorang. Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada kita untuk berhijrah semata-mata untuk menegakkan agama.

 

-Tamat-

 

Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani

Lulusan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi (Syariah) dan Sarjana (syariah) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Berkhidmat sebagai guru di Sek. Men. Imtiaz, Dungun pada tahun 2004-2005. Kini pensyarah di Jabatan Syariah, UKM, di samping bergiat dalam bidang penulisan dan dakwah.