Tel: 03-6188 4064 | E-Mel: info@yayasanmuslimin.org







Dikemaskini pada: 2015-01-09 22:36:36 | Ditulis oleh : Dr Mohd Farid bin Sheikh Haji Ahmad | Dibaca : 1075

Bab 1 - Keistimewaan Sistem Ekonomi Islam

Ikt. Bil 1 (April04)

EKONOMI boleh ditakrifkan dengan berbagai-bagai definasi seperti:

-  Ilmu tentang kekayaan (mewujudkan kekayaan) 1

- Ilmu kemasyarakatan, isunya manusia yang mempunyai keinginan, matlamatnya mengkaji hubungan antara berbagai-bagai keperluan dan sumber-sumber yang terbatas dengan tujuan menjayakan semaksimum mungkin pemenuhan keperluan-keperluan menerusi penggunaan sumber-sumber yang ada secara cekap beserta usaha menyuburkan sedaya mungkin. 2

 

Ekonomi Islam

Penulis menurunkan di bawah dua daripada definasi yang ditemuinya:

Ilmu yang mengkaji penggunaan sumber-sumber dan tenaga manusia dan bukan manusia yang dikurniakan Allah S.W.T kepada sesebuah masyarakat dengan cara yang akan membantunya mengeluarkan sebanyak mungkin barangan dan perkhidmatan yang halal untuk memenuhi keperluan-keperluan yang wajar bagi anggota-anggotanya masa kini dan masa depan. 3

Satu displin ilmu, yang mengarah kegiatan ekonomi dan mengaturnya sejajar dengan prinsip-prinsip Islam dan polisi-polisi ekonominya. 4

 

Sistem Ekonomi

Sistem ekonomi merupakan satu himpunan langkah-langkah yang akan mempengaruhi pilihan ekonomi masyarakat manusia yang bertujuan mengarahkan penggunaan sumber-sumber ekonomi ke arah mencapai matlamat-matlamat tertentu.

Dengan perkataan lain ia merupakan satu bentuk pendekatan, cara yang dipilih oleh sesebuah masyarakat untuk diikuti dalam kehidupan ekonomi mereka secara praktis.

Penerangan di atas memperakui bahawa sesebuah sistem ekonomi mengandungi tiga unsur iaitu:

1. Satu himpunan langkah-langkah/peraturan yang mempengaruhi pilihan-pilihan ekonomi sesebuah masyarakat.

2. Tugas-tugas atau kerja yang dilaksanakan menerusi langkah-langkah terdahulu.

3. Tabiat langkah-langkah itu.

Unsur pertama mengambil bentuk prosuder undang-undang yang diadun sejajar dengan polisi-polisi ekonomi yang didokong oleh sesebuah masyarakat sebagai kesan daripada perkembangan budaya, pendidikan dan minda mereka serta kuasa politik yang berdaulat di dalamnya.

Unsur kedua, dalam bentuk tiga tugas asas:

a. Penentuan golongan yang membuat keputusan pemilihan penggunaan sumber-sumber ekonomi.

b. Penyelarasan antara kegiatan pelbagai unit ekonomi.

c. Meletakkan senarai keutamaan (priority) matlamat-matlamat yang hendak dicapai.

Unsur ketiga mengambil bentuk-bentuk berikut:

a. Laluan-laluan, sama ada menerusi pasaran bebas atau penguatkuasaan secara mutlak.

b. Mekanisme dan instrumen sama ada menerusi pemilikan peribadi atau pemilikan negara terhadap faktor-faktor pengeluaran.

Sistem ekonomi mempunyai empat ciri:

1. Motivasi (faktor rangsangan)

2. Pemilikan

3. Pembuat keputusan

4. Perlaksanaan

 

Sistem Ekonomi Islam

Perlu ditegaskan di sini bahawa sistem ekonomi Islam adalah sebahagian daripada sistem kehidupan Islam yang merupakan satu eleman asas kepada Islam sebagai Ad-Din yang merangkumi tiga elemen asas iaitu keimanan, syariah dan sistem kehidupan.

Sistem Ekonomi Islam bolehlah didefinasikan sebagai satu himpunan peraturan yang bersumberkan wahyu, yang disusun untuk membantu manusia mengatasi masalah penggunaan sumber ekonomi, pengagihan kekayaan, kestabilan dan pertumbuhan ekonomi.


Unsur-unsur sistem ekonomi Islam adalah:

1. Satu himpunan peraturan yang disusun berasaskan wahyu dan ijtihad pada ahli hukum Islam (truths, principles and rules of syariah) yang mempengaruhi pilihan ekonomi masyarakat dan pemerintahan Islam.

2. Tugas-tugas atau kerja-kerja yang dilaksanakan menerusi peraturan-peraturan terdahulu.

3. Tabiah peraturan-peraturan dan langkah-langkah itu.

Berdasarkan kandungan unsur-unsur sistem ekonomi Islam tersebut di atas, nyatalah kelainan fundamental yang wujud di atara kandungan tersebut dengan kandungan unsur-unsur sistem ekonomi bukan Islam.


Dalam sistem ekonomi Islam, unsur pertama merupakan peraturan yang disusun dari sumber-sumber perundangan Islam yang diakui sahaja (wahyu dan ijtihas). Bukan semata-mata oleh akal, rasional dan penemuan pancaindera, deria serta pengalaman manusia sahaja.

Lantaran itu, tugas-tugas dan kerja yang dilaksanakan menerusi sistem ekonomi Islam adalah berasaskan peraturan-peraturan sedemikian rupa, dan tabiatnya bersesuaian dengan peraturan-peraturan tersebut.


Sistem ekonomi Islam ini digerakkan atau dipacu oleh prinsip-prinsip syariah seperti:

1. Mendapatkan kebaikan/manafaat dan maslahah.

2. Menangkis keburukan/kemudaratan dan kerosakan.

3. Menarik kemudahan.

4. Menangkis kepayahan.


Ciri-ciri umum sistem ekonomi Islam adalah. 5

1. Rangsangan (perasaan pertanggung-jawaban kepada Allah S.W.T.

2. Pemilikan (pemilikan peribadi, masyarakat dan negara).

3. Pembuat keputusan (kawalan pusat-central atau decentral, menerusi mekanisme syura).

4. Perlaksanaan (pacuan pasaran atau campur tangan kerajaan).


Keistimewaan-keistimewaan sistem ekonomi Islam adalah:

1. Ia berdiri di atas himpunan asas-asas tang tidak berubah dan prinsip-prinsip yang kekal.

2. Anjal mengikut perubahan masa dan suasana.

3. Berimbangan.

4. Dipacu oleh rangsangan.

5. Sejajar dengan kehendak syariah.

6. Rahmah yang menyeluruh dan berpanjangan.

7. Penyatuan unsur-unsur konstruktif.

8. Harmoni dengan peraturan-peraturan alam dan kehidupan.

9. Sejajar dengan fitrah manusia.

10. Qaiyimi (lurus berasaskan nilai-nilai murni dan akhlak).

 

Bersambung ....