Tel: 03-6188 4064 | E-Mel: info@yayasanmuslimin.org







Dikemaskini pada: 2018-01-29 15:06:20 | Ditulis oleh : Editor | Dibaca : 36

Konsep pekerjaan dalam Islam: Menjana Keadilan Pulangan

Pekerjaan di bawah Konsep Istisna`

 

Dengan merujuk kepada Dr. Wahbah zuhayli (1986b: 361) aqad istisna` wujud: "Apabila seseorang meminta seorang yang lain (tukang) untuk membuatkannya sesuatu daripada bahan yang sedia ada padanya dan menerimanya dengan kadar upah yang tertentu yang telah dipersetujuinya."

 

Peruntukan dalam definasi yang menentukan bahan daruipada tukang itu sendiri dapat dirumus bahawa konsep istisna` menepati aliran perkembangan ekonomi semasa.

 

Istisna` terasnya ialah konsep ajir mustarak, hanya peruntukan penentuan barang disediakan oleh tukang yang mengeluarkannya daripada konsep ini. Dan peruntukan inilah yang menyukarkan para fuqaha` memberikan hukum yang kemas dan sekata, sehingga membawa perkara ini kepada kedudukan jual beli baranng yang belum ada iaitu barang yang dibuat oleh tukang. Maka penyelesaiannya ditundukkan di bawah konsep jual beli salam. Bagaimanapun, penyelesaian ini agak sukar untuk diterima pakai di dalam konteks keadaan semasa.

 

Antara jalan penyelesaian lain, yang lebih  mudah daripada perspektif penulis, ialah membahagikan agad istisna` kepada dua agad yang lain, yang telah diterima pakai di dalam konteks ekonomi Islam. Pada pendapat penulis, penyelesaian ini adalah lebih jelas hukumnya dan dapat diterima pakai di dalam konteks semasa. Awad istisna` tersebut dapat dibahagikan kepada dua aqad yang lain seperti berikut:

 

i.   Jual beli bisa dan ijaratu`l amal


ii.  Jual beli murabaha dan ijaratu`l amal

 

Dalam rumsan yag pertama orang yang hendak menempah baju, meilih kain yang disukainya mengikut kadar yang diperlukan dengan harga yang dipersetujui. Kemudian dia menyuruh tukang jahit membuat bajunya daripada kain yang telah dibelinya itu dengan upah yang dipersetujui.

 

Dalam rumusan (ii), penyelesaian pada konsepnya sama dengan rumusan yang pertama, kerana jual beli murabahah konsepnya sama dengan jua beli biasa, nama ini berikan hanya untuk menentukan bahawa jual beli ini kadar keuntungannya diberitahu kepada pembeli.

 

Tukang jahit boleh membelikan kain yang berkenaan, dan menjualnya nanti kepada penempah buat baju dengan kadar untung 10% misalnya. Kemudian, tukang baju tersebut membuat baju yang ditempah dengan kadar upah yang telah dipersetujuinya. Dua penyelesaian yang tersebut di atas adalah begitu jelas dan struktur instisna` yang diajukan tetap kekal dan berperanan dengan sepenuhnya.

 

Sebagai tukang yang yang profesional, di atentu mengetahui suasana dan kedudukan pasaran, dan dapat menentukan kadar yang patut diperolehi dan tidak pula membebankan penempah. Ap ayang perlu wujud ialah suasana yang telus di dalam membuat keputusan. Keadaan ini terjamin melalui konsep khiar aib yang begitu jelas peruntukannya dalam akad muamalah Islam.

 

Sehubungan degan perkara ini baik kita merujuk kepada Dr Mustafa al-Bugha dan rakan-rakan (2001 : 389) yang membawa Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Bersumpah menarik perhatian kepada barang perniagaan dan mengurangkan pendapatan (ini dalam konteks jangka panjang, yang jelasnya tiada keberkatan padanya maka di dalam jangka panjang menyebabkan kurangnya pendapatan.

 

Dan Hadith riwayat Muslim yang bermaksud: "Hendaklah kamu sekalian beringat daripada banyak bersumpah dalam jual beli, kerana ia menyebabkan menarik perhatian dan kemudian mengurangkan."

 

Sumpah yang demikian kalau betul tetap makruh dan kalau tidak betul haram hukumnya.

 

Pekerja di bawah Konsep Mudarabah

 

Untuk melihat kedudukan tenaga berbanding dengan modal dalam struktur mudarabah, kita boleh merujuk kepada definasi yang dikemukan oleh Dr. Wahbah Zuhayli (1986a: 836): "Akad Mudarabah berlaku: dengan pemilik modal menyerahkan modal tertentu, kepada seorang yang lain (mudarib) untuk diperniagakan (dalam perniagaan yang tertentu) dengan keuntungan dibahagi di antara dua pihak dengan kadar nisbah yang dipersetujui (dalam amalan sekarang ini digunakan nisbah peratus)."

 

Perkara yang penting di sini ialah bahawa unsur kerja melalui mudarib berfungsi sejajar dan setara dengan unsur modal melalui pemodal, kedua-dua pihak yang masing-masing mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam menilai sesuatu perniagaan berunding dengan sebaik mungkin yang berakhir dengan penentuan peratusan pembahagian keuntungan di antara mereka.

 

Dalam persoalan ini ketelusan mankadi paksi kepada penentuan pembahagian. Imam Nawawi meriwayatkan Hadith Rasulullah riwayat Imam Muslim yang bermaksud: "Sesiapa yang menipu kita bukan daripada golongan kita."

 

Dan Hadith Rasulullah SAW riwayat Bukhari dan Muslim yang mermaksud: "Sesiapa yang kamu berurus jual beli dengannya, maka katakanlah tiada pemesongan (penipuan)." (ash-Shaykh Muhammad bin Salih al-`Uthaymin (2002: 142)).

 

Apabila berlaku kerugian yang tabi`i, maka pemilik modal menangung kerugian lelaui susutnya nilai modal mengikut kadar kerugian. Dan mudarib pula menanggung kerugian tenaga yang dicurahkannya tanpa sebarang pulangan,. Ini adalah imbangan yang adil.

 

Dan suasana begini jarang berlaku dan apabila berlaku adalah seharusnya diterima sebagai risiko perniagaan. Berdasarkan konsep bahawa keuntungan itu adalah merupakan imbangan kepada risiko.

 

Apa yang begitu menarik bahawa konsep mudrabah ini diterima pakai oleh institusi perniagaan/ pengurusan kewangan yang bertaraf korporat. Jelaslah bahawa konsep mudrabah memberi ruang kepada pekerja (pengurus mudarabah) untuk mendapat kadar keuntungan daripada kegiatan perniagaan yang bertaraf maju dengan kadar yang bergerak mengikut peratusan yang saksama.

 

Pekerja di bawah Konsep Muzara`ah

 

Dengan merujuk kepada Dr. Wahbah Zuhayli (1986b: 613), aqad muzara`ah wujud apabila: "Seseorang mempelawa untuk menyerahkan tanah miliknya kepada seseorang yang lain untuk menanamnya, dan dia mempersetujuinya dengan hasilnya dibahagi mengikut kadar nisbah yang dipersetujui."

 

Jika sekiranya bijih benih disediakan oleh penanam, Madzhab Shafi`i mengklasifikasikan kontrak ini sebagai mukhabarah, dan bukannya sebagai kontrak muzara`ah. Jumhur 'ulama' berdalilkan kontrak muzara`ah dengan muamalah Rasulullah SAW dengan penduduk Khaibar dengan memberi mereka sebahagian daripada hasil bauh-buahan atau tanaman.

 

Dr. Wahbah Zuhayli (1986b, 5: 619), mengemukakan fakta yang menjelaskan bahawa bijih benih boleh dirunding siapa yang perlu menyediakannya. Peruntukan yang fleksibel ini adalah menarik di dalam menghasilakan pengeluaran yang lebih bermutu. Peruntukan ini memberi ruang kepaa muzari` yang bertaraf korporat menguruskan penanaman tanah-tanah terbiar umpamanya dengan cara yang sebaik-baiknya, bermula dengan menggunakan bijih benih daripada jenis yang baik, penjagaan yang lebih sempurna agar dapat memberi hasil yang banyak dan lumayan.

 

Ternyata dalam kedudukan ini bahawa unsur pekerja (muzari`) memainkan peranan utama dan berkesan dalam usaha menghasilkan pengeluaran yang baik. Pekerja (muzari`) yang dapat menghasilkan perngeluaran yang lebih baik akan membolehkan mereka mendapat bahagian yang lebih baik, bukan sahaja untuk muzari` yang bertaraf korporat malah juga untuk petani-petani di kampung kerana pembahagian hasil tuaian muzara`ah mempastikan kedudukan ini.

 

Pekerja di bawah Konsep Musaqah

 

Dengan merujuk kepada Dr. Wahbah Zuhayli (1986b: 630), jumhur 'ulama' menentukan bahawa akand musaqah wujud: 'Apabila pemilik dusun buah-buahan menyerahkan dusunnya kepada pekebun untuk diurus bela dengan hasil dibahagi mengikut nisbah yang dipersetujui.

 

Secara dasar musaqah berkait dengan pokok buah-buahan dan muzara`ah berkait dengan tanaman sesuatu musim. Penulis tertarik dengan pendapat Madzhab Maliki yang mengambil kira tanaman yang telah siap ditanam ke dalam Konsep Musaqah. Umpamanya pemilik sawah telah siap menanam sawahnya kemudian dia tidak boleh menjaganya. Lalu, pemilik tanah tersebut mengupah seorang yang lain untuk menjaga sawah tersebut.

 


Walaupun pokok tanaman sudah ditanam, dan pekerja di dalam Konsep Musaqah hanya tertumpu kepada penjagaan tanaman tersebut. keterlibatan pekerja di dalam menghasilkan hasil yang baik masih lagi penting, walaupun ianya agak kurang berbanding kepada Konsep Muzara`ah. Penjagaan yang sempurna memastikan tanaman bebas daripada serangga perosak dan sebagainya , akan dapat menghasilkan pulangan yang lebih lumayan.

 

Sebelum kita meninggalkan perbincangan ini, penulis ingin menyentuh sedikit mengenai pra-syarat yang berkaitan rukun di dalam kontrak-kontrak yang berkaitan di atas:

 

i.  Perlaku kontrak


Di dalam kontrak Ijarah Amal, perlaku kontrak adalah di antara pekerja dan majikan. Sementara itu, di dalam Kontrak Istisna`, kontrak adalah di antara sani` dan mustasni`. Di dalam Akad Muzara`h, kontrak adalah di antara pemilik tanah dan penanaman, dan di dalam Akad Musaqah, kontrak adalah di antara pemilik kebun/tanaman dan penjaga. Sementara itu perlaku kontrak adalah disyaratkan juga seperi berikut:

 

i.i     Baligh (merangkumi budak mumayyiz dengan pengawasan)

i.ii.   Sempurna akal

 

ii. Perkara yang dikontrakkan.

 

Di dalam ijaratu`l, kerja dan upah/gaji dan sementara itu di dalam istisna`. Perkara yang dikontrakkan ialah barang dan upah dam di dalam Konsep Mudarabah, modal dan untung. Sementara itu, di dalam muzara`ah, perakra yang dikontrakkan ialah tanah pertanian dan hasil, dan akhirnya di dalam Konsep Musaqah, perkara yang dikontrakkan ilah kebun buah-buahan yang sedia untuk berbuah/ tanah pertanian yang telah ditanam dan hasil. Sehubungan dengan itu, ia hendaklah:

 

ii.i.   Bermanfaat mengikut Syariah Islam

ii.ii.  Diketahui untuk mengelakkan pergesaran.

 

iii.  Sighah; Ijab dan Qabul

 

iii.i.  Jelas maksudnya mengikut syariah Islam


iii.ii.  Tidak bercanggah di antara ijab dan qabul

 

Ketentuan dalam pra-syarat memperlihatkan bagaimana konsep pekerja itu di kawal di dalam menjana keadilan pulangan.

 

Ketentuan dam pra-syarat memperlihatkan bagaimana konsep pekerja itu dikawal di dalam menjana keadilan pulangan.

 

Penutup

 

Demikian dikemukan konsep bagi setiap daripada elemen di atas. Penulis berharap penjelasan konsep yang berkenaan dapat memperlihatkan kepada kita bagaimana konsep pekerja menjana keadilan pulangan. Bagi perlaksanaan setiap elemen yang berkenaan memerlukan huraian yang tersendiri, di dalam bentuk sebuah artikel atau beberapa artikel yang lain.

 

Rujukan:

 

Al-Quran al-Karim

Al-Minyawi. Faid al-Qadir Saryh al-Jami` al-Saghir. Jilid 3.

Ash-Shaykh Muhammad bin Salih al-`Uthaymin. 2002M/1423H. Sharh Riyadu`s Salihin. Kaherah: Daru`l-Haysham.

Ash-Shawkani. 1416H / 1996M. Naylu`l-Awtar. Jilid 5. Beirut: Daru`l-Khayr.

Dr. Wahbah Zuhayli. 1986M/1406H. Al-Fiqhu`l-Islamiy wa Adillatuh. Jilid 4. Damsyiq: Daru`l-Fikri.

Dr. Wahbah Zuhayli. 1986M/1406H. Al-Fiqhu`l-Islamiy wa Adillatuh. Jilid 5. Damsyiq: Daru`l-Fikri.

Dr. Mustafa al-Bugha dan rakan-rakan. 1422H / 2001M. Nuzhatu`l-Muttaqin. Jilid 2. Beirut: Muassasatu`r-Risalah.

 

-Tamat-

 

Dr. Hafiz Majdi Haji Abdul Rashid adalah Pensyarah di Jabatan Perakunan Kuliyyah Ekonomi dan Sains Penguruan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.