Tel: 03-6188 4064 | E-Mel: info@yayasanmuslimin.org







Dikemaskini pada: 2015-05-28 14:27:03 | Ditulis oleh : Prof Madya Dr. Hassanudden Abdul Aziz | Dibaca : 1975

INSTITUSI AL-HISBAH Peranannya Dalam Ekonomi Negara (Bahagian 1)

Ikt. Bil.3 (2005)


KEMAKMURAN ekonomi adalah salah satu matlamat yang perlu dicapai oleh kerajaan Islam. Sebagai agama yang lengkap, Islam telah mengariskan panduan yang perlu dipatuhi untuk umatnya berjaya dalam semua bidang kehidupan. Kebagkitan semula Islam pada abad ke-15 Hijrah telah menyebabkan rata-rata umat Islam berazam untuk mengembalikan kegemilangan zaman silam.


Kefahaman tentang sistem ekonomi Islam pada zaman ini akan menjadi satu medan kewajipan yang perlu dilaksanakan, dan berikutnya untuk diterapkan nilai-nilai dan prinsip-prinsip ekonomi Islam dalam kehidupan seharian. Ini untuk mempastikan usaha merealisasikan kehendak-kehendak kehidupan ekonomi seperti yang digariskan dalam Islam.


Panduan al-Quran dan as-Sunnah dan legasi amalan ekonomi di zaman keagungan Islam merupakan sumber rujukan utama dalam melaksanakan kewajipan tersebut. Institusi Al-Hisbah merupakan satu legasi amalan Islam yang masih relevan dan berpotensi untuk menyumbang kepada kemakmuran ekonomi pada hari ini.


Di Malaysia sendiri misalnya semangat dan roh daripada institusi al-Hisbah sudahpun diamalkan. Sebagaimana yang terangkum amalan institusi seperrti SIRIM, Majlis Produktivi Nasional, kawalan harga oleh Kementerian Hal-Ehwal Pengguna. Sejauh mana kita dapat membandingkan status dan peranan institusi-institusi tersebut dengan institusi tersebut dengan institusi al-Hisbah di dalam amalan Islam memerlukan kepada satu kefahaman yang khusus dan jelas terhadap institusi hisbah sebagaimana yang diamalkan dahulu.


Sejajar dengan peranan manusia selaku khalifah di muka bumi, Allah SWT telah memerintahkan manusia agar senantiasa menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran daripada berlaku berdasarkan ilmu pengetahuan dan kemampuan yang mereka miliki.


Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan menyuruh kepada yang baik dan mencegah dari yang mungkar, Mereka itulah golongan yang beruntung." (Surah Ali `Imran: 104).


Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

"Sesiapa di antara kamu yang melihat sesuatu yang mungkar, hendaklah dia ubah dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia ubah dengan lidanya. Sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia ubah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)


Kesedaran untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan ini di peringkat negara telah melahirkan satu institusi yang dinamakan al-Hisbah. Institusi al-Hisbah merupakan salah satu jentera pentadbiran yang penting dalam Kerajaan Islam. Secara ringkas, fungsi utama al-Hisbah seperti yang diterangkan oleh seorang tokoh Islam dalam bidang politik, Al-Imam Al-Mawardi di dalam buku berliau, AlAhkam As-Sultaniyyah wa Wilayat Ad-Diniyyah adalah satu institusi yang menyuruh kepada kebaikan apabila ditinggalkan secara terang-terangan, dan mencegah kemungkaran apabila dilakukan secara terang-terangan.

Daripada definasi ini, institusi al-Hisbah berbeza dengan sistem kehakiman kerana sekiranya sesuatu kesalahan dilakukan secara sembunyi, maka adalah menjadi tanggungjawab hakim untuk mengadili kes tersebut setelah wujud pendakwaan yang melibatkan bukti keterangan dan penyaksian, bukan lagi di bawah tanggungjawab institusi al-Hisbah.


Secara ringkas, al-Hisbah merupakan institusi rasmi kerajaan yang ditubuhkan khas untuk melaksanakan tugas menyeluruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sebagaimana diperintah Allah. Institusi al-Hisbah diketuai oleh seorang pegawai yang dipanggil al-Muhtasi. Dalam melaksanakan tugasnya, al-Muhtasib akan dibantu oleh pegawai-pegawai lain.

 

Sejarah dan Bidang kuasa Al-Hisbah

Bidang kuasa Al-Hisbah secara asasnya ialah memastikan hukum Allah terpelihara daripada sebarang bentuk percabulan, menjaga kehormatan manusia dan memastikan keselamatan awam. Pada era kenabian, Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah mengambil inisiatif utama dalam memastikan bahawa kehidupan peribadi dan masyarakat awam di Madinah selari dengan Islam dari aspek undang-undang dan moral.


Pada peringkat awal kebangikatan Islam, tidak ada satu institusi khas yang ditubuhkan oleh Nabi untuk melaksanakan tanggungjawab menyeluruh kepda kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sebaliknya, fungsi ini dilaksanakan secara kolektif oleh setiap individu pada ketika itu, kerana semangat dakwah yang begitu jitu pada generasi awal Islam menyebabkan setiap mereka merasa bertanggungjawab untuk sama-sama memelihara kehormonian masyarakat agar selari dengan perintah Allah.


Kemudian, selaras dengan perubahan yang berlaku pada sosio-ekonomi masyarakat Islam, satu jabatan khas telah ditubuhkan untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut.


Pada zaman ini, masyarakat Islam telah mula menerima hasil kekayaan yang melimpah ruah dan timbulnya pelbagai masalah dalam pentadbiran negara. Kekacauan yang berlaku akhirnya menyebabkan masyarakat awam pada ketika itu semakin longgar pegangan terhadap perundangan Islam berbanding generasi awal. Tidak hairanlah jika kesederhanaan untuk menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran semakin diabaikan. Oleh itu, untuk melicinkan pentadbiran negara, Instotusi al-Hisbah ditubuhkan dan diketuai oleh seorang pegawai kerajaan yang digelar al-Muhtasib. Beliau bertanggungjawab terhadap kelakuan dan tingkah laku moral orang ramai, termasuk adab dan etika semasa melakukan urusniaga.


Secara ringkasnya, tanggungjawab al-Hisbah meliputi tiga aspek berikut:

1.  Perkara yang berkaitan dengan hak-hak Allah.

Al-Muhtasib bertanggungjawab memastikan seluruh anggota masyarakat mempunyai organisasi yang tersusun dan kemduahan yang mencukupi untuk beribadah kepada Allah. Sebagai contoh, al-Muhtasib bertanggungjawab terhadap pengurusan masjid.


2.  Perkara yang berikaitan dengan hak-hak manusia.

Al-Muhtasib bertanggungjawab untuk memastikan keadilan dilaksanakan dalam masyarakat. Beliau akan memastikan setiap faktor ekonomi menjalankan urusan mereka dengan adil untuk menghapuskan unsur-unsur eksploitasi. Sebagai contoh, al-Muhtasib akan memeriksa sistem ukuran dan timbangan di pasar, kualiti produk di pasaran dan penghasilan wang negara.


3.  Perkara yang berikatan dengan hak-hak bersama Allah dan manusia.

Al-Muhtasib bertanggungjawab dalam pengurusan bandar. Beliau perlu memastikan agar setiap perkhidmatan disediakan secukupnya untuk masyarakat. Sebagai contoh, beliau bertanggungjawab memastikan bahawa kemudahan kesihatan yang ada mencukupi, penyediaan lampu-lampu jalan, pelupusan sampah, seni bentuk bangunan, bekalan air dan mengawal pencemaran.

 

Berdasarkan kenyataan di atas, bidang kuasa al-Hisbah sangat luas. Institusi ini memikul tanggungjawab besar dalam memastikan peraturan dan undang-undang Islam dipatuhi setiap manusia dan tidak dilanggar secara terbuka. Oleh itu, al-Hisbah perlu sntiasa memainkan peranan yang efektif agar kesinambungan moral dalam masyarakat Islam terpelihara. Sungguhpun begitu, perbincangan selepas ini akan lebih menjurus ke arah perlaksanaan al-Hisbah dari perspektif ekonomi.


Al-Muhtasib dan Asas Peraturan Ekonomi

Syeikhul Islam ibn Taymiyyah di dalam bukunya Al-Hisbah fi Al-Islam telah menggariskan lima asas utama sebagai panduan bagi al-Muhtasib menyusun peraturan perniagaan dan ekonomi.


Pertama, al-Muhtasib perlu memastikan sistem sukatan dan timbangan dipatuhi oleh semua peniaga, kerana perbuatan menipu dalam sukatan dan timbangan adalah perbuatan yang tercela dan menyebabkan kerosakan di muka bumi, sebagaimana firman Allah yang bermaksud: 

"Dan whai kaumku! sempurnakan sukatan dan timbangan dengan adil, dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi." (Surah Hud: 85)


Kedua, al-Muhtasib mesti menghapuskan sebarang bentuk penipuan dan pemalsuan dalam kegiatan ekonomi. Diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim dalah Sahihnya daripada Abu Hurairah (r.a) bahawa pada suatu ketika Nabi s.a.w telah berhjaya mengesan perbuatan seorang peniaga yang menyembunyikan bahan makanan yang telah rosak di dasar guni, sementara di bahagian atas guni diletakkan bahan yang elok. Baginda memberi amaran keras apabila bersabda:

"Mereka yang menipu bukanlah dari kalangan kami."


Penipuan dan pelmasuan dalam ekonomi akan menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan kepda kemampuan kerajaan untuk memelihara kebajikan mereka, dan menggangu perjalanan ekonomi yang sihat. Oleh itu, al-Muhtasib perlu memastikan tidak ada penipuan dan pelmasuan dalam kegiatan ekonomi.


Ketiga, al-Muhtasib perlu memastikan tiada sebarang unsur yang diharamkan Allah dalam perjanjian kontrak jual beli, seperti riba dan pertaruhan.


Keempat, Al-Muhtasib perlu memastikan maklumat mengenai pasaran sentiasa telus agar unit ekonomi dapat bersaing secara sihat. Sebagai contoh, para pengusaha dari kawasan luar bandar tidak boleh menjual barangan mereka kepada peniaga dari bandar yang ingin mengaut keuntungan sebagai orang tengah, sedangkan para pengusaha dari luar bandar tidak tahu harga dan permintaan barangan mereka di pasaran semasa. Oleh itu, semua unit ekonomi berhak mendapat maklumat secukupnya agar mereka dapat merancang tindakan yang sewajarnya.


Kelima, Al-Muhtasib perlu memastikan kegiatan menyorokkan barang keperluan agar harga naik (ihtikar) tidak wujud di kalangan peniaga. Perbuatan ini dicela agama kerana menzalimi pengguna dengan bekalan yang sedikit dan harga yang tinggi. Al-Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahihnya dari Mar`mar ibn Abudllah bahawa Nabi s.a.w bersabda:

"Hanya mereka yang tidak mendapat petunjuk akan menyorokkan barang."

 

Bersambung...