Tel: 03-6188 4064 | E-Mel: info@yayasanmuslimin.org






Dikemaskini pada: 2017-10-13 12:51:37 | Ditulis oleh : Editor | Dibaca : 25

Apabila Buku Amalan Dibuka

Oleh: Umar M Noor


Salah satu peristiwa besar yang akan terjadi pada saat upacara hisab ialah penyerahan buku catatan amal manusia di dunia. Allah SWT menjelaskan proses penyerahan buku itu adalah berbeza-beza sesuai dengan perbezaan amal perbuatan manusia di dunia.

 

Sebahagian manusia diberikan bukunya dari sebelah kanan, dan sebahagian yang lain diberikan dari sebelah kiri.

 

Allah berfirman yang bermaksud: "Adapun orang yang diberikan kepadanya kitab amalanmu (Ini). Sesungguhnya (sejak dulu) aku yakin bahawa aku akan menemui hisab terhadap diriku.' Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diredai, dalam syurga yang tinggi, buah-buahannya dekat, (dikatakan kepada mereka): 'Makan dan minumlah sebagai satu nikmat hasil daripada apa yang telah kamu kerjakan pada hari-hari yang telah lalu.' Adapun orang yang diberikan kepadanya kitab dari sebelah kirinya, maka dia berkata: 'Aduhai, alangkah baik jika aku tidak diberikan kepadaku kitab. Alangkah baiknya kiranya kematian itu suatu penamat )tidak dibangunkan semula). Harta kekayaanku sekali-kali tidak memberi manfaat kepadaku. MAlah telah hilang dariku kuasa pemilikannya." (Surah al-Haqqah 69: 19-29)

 

Malaikat Pencatat

 

Setiap manusia yang hidup di muka bumi ini memiliki sebuah buku khusus yang merakamkan semua ucapan dan perbuatannya sejak ia akil baligh hingga meininggal dunia. Penulisnya ialah dua orang malaikat yang selalu mengiringinya di sebelah kanan dan sebelah kiri, tak kira di manapun seseorang itu berada. Allah berfirman yang bermaksud: "Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melankan ada berdekatannya malaikat pengawas yang selalu hadir." (Surah Qaf 50:18)

 

Al-Quran menamakan kedua-dua malaikat ini dengan sebutan al-Hafazah (penjaga amal perbuatan manusia)

 

Ibn Abbad berkata: "Mereka mencatat semua kata-kata yang diucapkan oleh manusia, sama ada baik ataupun buruk, bahkan mereka menuliskan ucapan (yang tak mengandungi pahala ataupun dosa sekalipun) seperti 'aku makan', 'aku minum', 'aku pergi', 'aku datang', 'aku lihat' dan sebagainya."

 

Abu al-Jauza dan Mujahid berkata: "Dicatatkan semua ucapan dan perbuatan manusia termasuk rintihan sakit sekalipun." Diceritakan oleh Ibn Kathir di dalam Tafsirnya bahawa Imam Ahmad bin Hanbal sering merintih ketika sakit. Namun setelah mendengar riwayat daripada Thawus bahawa malaikat mencatat semua ucapan manusia termasuk rintihan sakit, beliau tidak lagi merintih hingga meninggal dunia.

 

Para ulama berbeza pendapat, apakah kedua-dua malaikat ini mencatat juga niat dan bisikan hati manusia, atau adakah mereka hanya mencatat amalan zahir sahaja?

 

Majoriti ulama Ahlu Sunnah mengatakan bahawa mereka mencatat juga semua bisikan hati  manusia. Dalilnya terdapat beberapa hadis sahih, salah satu daripadanya ialah riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

 

"Sesunguhnya Allah SWT mencatat amalan baik dan buruk manusia. Maka sesiapa yang berkeinginan (hamma) untuk melakukan kebaikan namun ia tidak jadi melakukannya, akan ditulis untuknya kebaikan sempurna. Dan sesiapa yang berkeinginan untuk melakukannya lalu ia benar-benar melakukannya, maka ditulis untuknya sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali ganda bahkan hingga tidak terbatas. Dan sesiapa yang berkeinginan untuk melakukan keburukan namun ia tidak jadi melakukannya, maka ditulis untuknya satu kebaikan. Namun jika ia menginginkannya lalu benar-benar melakukannya, maka ditulis untuknya satu kejahatan."

 

Hadis serupa diriwayatkan oleh al-Syaikhan juga melalui saluran lain hingga kepada Abu Hurairah r.a., al-Hafis Ibn Hajar berkata: "Hadis ini menjadi dalil bahawa malaikat mengetahui isi hati manusia dengan pemberitahuan daripada Allah atau kerana Allah menjadikan tanda-tanda untuknya."

 

Tanda-tanda itu antara lain seperti yang diceritakan Imam al-Qurtubi di dalam taksirnya, Sufyan bin `Uyainah pernah ditanya: "Bagaimana malaikat mengetahui ketika seorang hamba berniat baik atau buruk?" Beliau menjawab: "Apabila ia berniat baik, malaikat mencium bau kasturi. Dan apabila ia berniat buruk, malaikat mendapati bau busuk."

 

Buku Amalan

 

Kedua-dua malaikat ini tidak pernah penat atau bosan mencatat amalan manusia, hingga tiba saat kematian orang tersebut lalu ditutuplah buku amalannya. Dan buku itu akan sekali lagi dibuka apabila orang tersebut dibangkitkan kembali untuk menjalani hisab.

 

Imam ahli tafsir Muqatil bin Sulaiman berkata, "Apabila seseorang mati, maka lembaran amalannya ditutup. Lalu apabila ia dibangkitkan., lembaran-lembaran itu akan dibuka kembali." Ucapan ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan apabila catatan-catatan (amal perbuatan manusia) kembali dibuka." (Surah al-Takwir 81: 10)

 

Diriwayatkan bahawa buku-buku itu akan turun dari langit, lalu berterbangan mencari para pemiliknya yang keika itu sedang berdiri di padang Mahsyar. Sebahagian ulama membayangkan pemandangan waktu itu bagaikan hujan salji yang sangat lebat. Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam al-Zuhd al-Kabir daripada Rab`ah al-`Adawiah ia berkata; "Setiap kali melihat hujan salji, aku teringat buku-buku amalan yang berterbangan."

 

Anehnya, buku yang berterbangan itu jatuh pada tangan pemiliknya. Jika  ia jatuh ke tangan pemiliknya melalui arah kanan, maka disambut dengan kegembiraan yang tidak terkira. Sebab "kanan (bahasa Arab al-yamin) berasal daripada kata "al-yumn" yang mengandungi maka "beruntung" sehingga menandakan keselamatan. Orang ini akan melompat kegirangan lalu menunjukkan bukunya itu kepda semua orang yang berada berdekatannya. Ia berkata, "Mari, lihat kitabku ini! Sesungguhnya sejak dulu aku yakin bahawa aku akan menemui hisab terhadap diriku. "Demikian sebagaimana yang diceritakan dalam surah al-Haqqah di atas.

 

Sebahagian buku yang jatuh ke tangan pemiliknya melalui arah tangan kiri, maka dia akan melahirkan rasa ketakutan yang tidak terbayang. Sebab "kiri" (bahasa Arab al-syimal atau masy`amah) mengandungi makna "syu`m" yang bererti "sial" atau "tidak beruntung". Ketakutan orang ini semakin besar pada waktu dia membaca isi buku tersebut dan melihat semua perincian perbuatannya tertulis dengan jelas. MEreka berkata: "Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya." (Surah al-Kahfi 18:49).

 

Ya, setiap perbuatan sekecil mana pun akan tertulis di dalam buku itu dan akan dipersoalkan kelak oleh Allah SWT di hadapan seluruh manusia. Sufyan al-Thauri berkata, "Mereka akan dipersoalkan semuanya sehingga sebuah senyuman sekalipun. Allah akan bertanya kepadanya: 'Mengapa engkau tersenyum pada hari ini dan ini?"

 

Sering kali sebuah senyuman dianggap ringan padahal ianya dapat menyakiti hati orang lain ketika dilakukan cengan cara tertentu sehingga mengandungi makna penghinaan dan kesombongan. Begitu juga lirikkan mata, menunding jari, isyarat dan perbuatan-perbuatan kecil yang lain. Semuanya dicatat oleh malaikat dan akan dipersoalkan kelak di akhirat.

 

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersanda yang bermaksud, "Sering kali sebuah kata-kata yang diucapkan seseorang, ia menganggapnya ringan sahaja, namun dapat membantunya melayang-melayang di neraka selama tujuh puluh tahun lamanya.

 

Buah Keimanan

 

Keimanan terhadap malaikat pencatat amal yang selalu bersama manusia di mana pun dia berada, dan buku catatannya yang akan diterimanya di akhirat nanti, jika ia tertanam dengan kuat di dalam hati akan berfungsi sebagai pemadam setiap niat jahat dan penghalang untuk setiap maksiat. Orang ini akan berfikir beberapa kali terlebih dahulu sebelum mengucapkan walau hanya sepatah kata sekalipun.

 

 

Imam al-Qurtubi dalam taksirnya meriwayatkan ucapan adalah sebahagian tanda solehin, "Buku ini, lidahmu yang menjadi penanya, air liurmu yang menjadi dakwatnya dan tubuhmu menjadi kertasnya. Kamu sendiri yang mengimlakkan kepada malaikat al-hafazah. Tidak ditambah ataupun dikurangkan. Jika kamu memungkiri isinya, maka akan dihadirkan saksi daripada tubuhmu sendiri."

 

Beliau juga meriwayatkan daripada Abu Sawar al-`Adawi yang berkata, "Buku ini dibuka dua kali dan ditutup satu kali. Selama engkau hidup, wahai manusia, selama itu juga bukumu selalu terbuka. Maka imlakkanlah sesuka hatimu. Lalu apabila engkau mati, maka buku itu ditutup. Sehingga ketika engkau dibangkitkan kembali, maka buku itu akan kembali dibuka."

 

Maka tidak hairan jika kita menemui sejarah hoidup beberapa tokoh ilama tabiin yang sangat menjaga dirinya daripada dosa seperti Abdullah bin `Aun di Basrah. Murid Hasan al-Basri ini amat terkenal dengan pandai menjaga diri sehingga Kharijah bin Mus`ab pernah berkata, "Aku berkawan dengan Ibn `Aun selama 20 tahun, dan aku yakin kedua-dua melaikat yang bersamanya tidak pernah menulis satu dosa pun untuknya."

 

Begitu juga Imam Ahli Madinah, Muhammad bin Abdul Rahman Ibn Abi Dzi`b. Muridnya yang terkenal dengan panggilan al-Waqidi pernah berkata, "Ibn Abi Dzi`b selalu melakukan solat sepanjang malam dan sangat kuat beribadah. Andai dikatakan kepdanya, esok adalah hari kiamat, nescaya dia tidak tahu apa lagi harus dilakukan bagi menambah ibadahnya." Yakni, sebab semua macam ibadah telah ia lakukan dengan sangat sempurna.

 

Berkata Baik atau Diam

 

Jika kita tidak mampu meniru ulama-ulama tabiin yang sangat rajin merencanakan kata-kata indah ke dalam buku amalannya ini, untuk tidak menuliskan goresan dosa di dalam buku catatannya. Jika kita tidak mampu menghiasi lidah setiap saat dengan zikir dan nasihat, setiap daripada kita mampu untuk diam dalam mengucapkan kata-kata dosa. Ingat selalu sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhir, hendaklah ia berkata baik atau diam." (Riwayat Ahmad no. 16417)

 

-Tamat-


Sumber: Solusi (Isu No. 15)