Tel: 03-6188 4064 | E-Mel: info@yayasanmuslimin.org






Dikemaskini pada: 2018-01-12 17:09:02 | Ditulis oleh : Editor | Dibaca : 26

Konsep Pekerjaan Dalam Islam Manjana Keadilan Pulangan (Bahagian 1)

Oleh: Dr. Dr. Hafiz Majdi Hj. Abdul Rashid


Abstrak

 

Apabila kita menyusuri kehidupan manusia mengikuti perspektif Islam, ternyata bahawa setiap individu tidak mampu menjalankan kehidupannya dengan sempurna dan baik secara bersendirian. Sunnah Illahi menetapkan bahawa manusia mesti hidup secara bermasyarakat. Maka Allah menjadikannya dengan tabiat saling memerlukan diantara satu sama lain di dalam mendapatka keperluan hidup, baik yang bersifat kebendaan mahupun yang bersifat perkhidmatan. Artikel yang ringkas ini akan membincangkan konsep pekerja di dalam Islam, yang lahir daripada keperluan manusia untuk saling bergantung di dalam melayari kehidupan di dunia ini.

 

Pendahuluan

 

Merujuk kepada an-Nawawi (di dalam Ash-Shaykh) Muhammad bin Salih `Uthaymin, 2002: 39) yang meriwayatkan Hadith Bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Seseorang muslim bagi seorang muslim yang lain adalah seperti bangunan yang setengahnya mengikut kuat setengah yang lain."

 

Hadith Rasulullah SAW ini menyarankan bahawa seorang muslim di dalam melayari kehidupan sebagai hamba Allah di muka bumi di perlu hidup sebagai satu masyarakat, yang memerlukan di antara satu sama lain. Konsep ini telah diungkapkan bahawa seorang Muslim itu adalah merupakan satu juzuk daripada juzuk-juzuk bangunan yang mengikat kukuh bangunan itu di antara satu bahagian dengan bahagian yang lain.

 

Maka dengan konsep umum di atas, dapatlah kita rumuskan bahawa seorang muslim itu harus hidup secara kolektif, dan keadaan ini merangkumi semua perkara di dalam kehidupan manusia termasuklah persoalan ekonomi di dalam membentuk sosio ekonomi yang lebih kukuh.

 

Konsep ini menekankan bahawa seseorang muslim itu perlu kuat kerana dengan kekuatan ini akan dapat mengukuhkan lagi sesuatu masyarakat itu. Oleh itu, setiap keperluan ini yang wujud diantara seorang muslim dengan seorang muslim yang lain perlulah diberi ganjaran yang setimpal.

 

Islam memandang pekerja sebagai sesuatu yang amat mulia. Pandangan ini dapat diperjelaskan lagi dengan merujuk kepada beberapa Hadith Rasulullah SAW seperti hadis Ibnu Omar yang diriwayatkan oleh al-Minyawi (t.t: 290) yang bermaksud:

 

"Sesungguhnya Allah menyayangi hambaNya yang mukmin yang mempunyai pekerjaan"

 

Maka konsep pekerja yang dimaksudkan dalam tujuk ini adalah begitu luas tidak terbatas kepada istilah kerja yang lumrah kita fahamkan iaitu: "Pekerja ialah seseorang yang bekerja dengan seseorang majikan dengan tugas tertantu dalam masa yang tertentu dan gaji yang tertentu."

 

Ia begitu jauh lebih luas daripada itu yang secara keseluruhannya dapat dijelaskan melalui elemen-elemen yang barikut:

 

i.    Pekerja di bawah konsep ijara `amal

ii.   Peekrja di bawah konsep istisna`

iii.  Pekerja di bawah konsep mudharabah

iv.  Pekerja di bawah konsep muzara`ah

v.   Pekerja di bawah konsep musaqah

 

Pekerja di bawah Konsep Ijarah Amal

 

Perkara ini dirujuk kepada Firman Allah SWT dalam suratu`I-Talaq (65:6) yang bermaksud: ".... Dan sekiranya mereka (isteri yang telah ditalaq) menyusukan (anak-anak Kamu) untuk kamu, maka berikanlah upah mereka....".

 

Hadith Sharif pula di dalam Ash-Shawkani (1996: 332) meriwayatkan Hadith Qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurayrah yang menjelaskan:

 

Bahawa Rasulullah SAW menegaskan bahawa tiga orang adalah merupakan musuh Allah di hari Qiamat. Mereka ialah;

 

i.    Orang yang  berjanji dan bersumpah dengan Baginda kemudian tidak menyempurnakannya,

ii.  Orang yang menjual orang merdeka dan menggunakan harganya (umpamanya dia memerdekakan seorang hamba, kemudian memutar belitkannya hingga ternyata dia masih sebagai hamba)

 

iii.  Orang yang mengambil seseorang pekerja dan mendapat khidmatnya dan tidak menyempurnakan gajinya.

 

Ternyata bahawa bekerja bukan sahaja suatu perkara yang sah di dalam syariat Islam, malah ia merupakan sesuatu yang begitu penting di dalam kehidupan manusia, sehinggakan orang yang mengabaikan gaji pekerja menjadi musuh Allah SWT di akhirat nanti.

 

Ternyata bahawa Nas al-Qur`anu`l-Karim dan Hadith Rasulullah SAW merumuskan bahawa tenaga seseorang/kepakaran merupakan manfaat yang menjadi imbangan kepada upah (sewa kerja) sebagaiman juga manfaat barang sebagai imbangan kepaa sewa barang itu.

 

Begitu banyak Hadith Rasulullah yang lain yang kesemuanya memusatkan penekanan yang sama. Dan adalah begitu menarik bahawa Nas-nas yang berkenaan inilah juga yang dijadikan dalil kepada pensyaritan sewa barangan.

 

Berdasarkan kepada dalil-dalil yang begitu jelas maka para `ulama berijma` dalam pensyaritan sewa tenaga. Dengan erti kata lain, tenaga pekerja adalah perkara asas dalam menjana pembangunan ekonomi ummah. Dan ia mesti diberikan layanan yang sebaik-baiknya dan saksama. Dalam persoalan tajuk ini kita memberikan penekankan kepada perkara yang berikut:

 

i.  Kadar gaji yang setara engan nilai sebenar sesuatu tenaga / kepakaran mengikut nilai urf (mithli).

 

ii.  Pembayaran gaji mengikut masa yang sesuai dengan kepentingan pekerja.

 

Dua perkara ini berkait secara langsung dengan pekerja khusus atau lebih berbentuk individu; iaitu pekerja yang terikat dengan majikannya. Perkara 9i) adalah sesuatu yang mudah difahami di dalam Islam. Dan perkara (ii) pula boleh dirujuk kepada Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud (sila rujuk Dr. Wahbah Zuhayli (1986a: 730): "Hendaklah kamu sekalian memberi upah pekerja sebelum kering peluhnya."

 

Sebagai imbangan kepada perkara yang di atas maka pekerja adalah sewajibnya pula menggunakan tenaga dan kepakaran dengan sewajarnya, demi untuk menjamin produktiviti yang tidak saja mampu memenuhi kepentingan mereka malah mampu juga untuk memenuhi kepentingan majikan, di mana keselasaan mereka adalah bergantung kepadanya.

 

 

Satu lagi bentuk pekerja ialah pekerja musytarak atau lebih berbentuk kolektif. Pekerja di dalam bentuk ini memberi khidmat kepada orang ramai berdasarkan kepada sesuatu kerja, seperti menjahit baju dan membersihkan halaman rumah. Upahnya ialah melalui persetujuan menyempurnakan kerja itu. Perkara ini akan lebih jelas lagi melalui pekerja di dalam konsep-konsep yang berikutnya.

 

Bersambung...