Tel: 03-6188 4064 | E-Mel: info@yayasanmuslimin.org






Dikemaskini pada: 2017-09-27 16:58:10 | Ditulis oleh : Ustaz Md Zaki bin Ab Manan | Dibaca : 105

Mendefinasikan semula Asnaf Zakat

Jabatan Agama Islam negeri-negeri telah menggerakkan usaha menyebarluaskan maksud fisabilillah, mualaf, ibn sabil, riqab dan gharimin disamping mempastikan pengagihan wang zakat ini menepati sasarannya dan jauh daril berlakunya 'double counting' (pengiraan berganda) di kalangan asnaf-asnaf tersebut.

 

Maksud golongan (asnaf) yang dinyatakan di dalam Al-Quran adalah seperti berikut:

 

(a)  Fakir

Orang yang tidak mempunyai harta dan tiada mata pencarian, atau ada mempunyai mata pencarian tetapi hasil pendapatannya itu tidak sampai separuh daripada keperluan asas.

 

(b)  Miskin

Orang yang ada mempunyai harta atau mata pencarian tetapi hanya dapat menampung separuh/lebih daripada keperluan semasa sama ada bagi dirinyasendiri atau keluarga  yang di bawah tanggungannya.

 

(c)  Amil

Pemungut zakatr yang dilantik oleh pemerintah Islam.

 

(d)  Mallaf

Orang yang baru memeluk agama Islam iaitu "orang yang dijinakkan hatinya" dengan diberi bantuan supaya mereka tetap teguh menyintai Islam.

 

(e) Hamba (Al-Riqab)

 

Hamba sahaya yang diberi peluang oleh tuannya untuk menebus (memerdekakan) dirinya, tetapi ia tidak mempunyai wang bagi tujuan tersebut.

 

 

(f)  Orang yang berhutang (Al-Gharimin) 

Orang yang menanggung hutang yang dibenarkan oleh syarak seperti hutang untuk muslihat orang ramai tetapi ia tidak mampu membayar hutangnya itu.

 

(g)  Fisabilillah

 

Orang yang berjuang untuk keperluan dana muslihat orang-orang Islam demi menegakkan Syiar Islam.

 

(h)  Ibnu Sabil

 

Orang-orang yang keputusan (kehabisan) wang atau perbelanjaan untuk meneruskan perjalanan yang bertujuan baik dan dibenarkan oleh syarak.(1)

 

Amil


Kalau dilihat kepada definasi asnaf di dalam kitab-kitab lain, terdapat sedikit perbezaan yang tidak begitu ketara. Cuma dalam definasi amil, fisabilillah dan gharimin terdapat kreteria tambahan dan syarat-syarat yang ditetapkan yang agak berbeza dengan definasi di atas. Misalnya di dalam kitab Matlaal Badrain wa Majma` al-Bahrain menyebutkan:

 

"Amil ialah orang yang dilantik oleh Imam (ketua negeri) untuk memungut dan mendaftarkan zakat yang diterimanya, dan orang yang berhak menerimanya dan mengenap pasti serta membahagikan zakat kepada meeka. Amil tidak boleh dilantik di kalangan wanita atau orang yang cacat pendengaran dan penglihatan. Amil juga hendaklah terdiri dari kalangan mereka yang adil. Kadi atau Raja boleh menguruskan zakat, akan tetapi mereka tidak layak menerima harta zakat."

 

Al-Gharimin

 

Al-Gharimin atau orang yang berhutang ialah:

 

(a)  Berhutang kerana hendak menghentikan fitnah di antara dua kumpulan yang berkelahi, seperti seorang yang dibunuh tanpa ternyata pembunuhannya untuk menghentikan fitnah (pergaduhan), dia terpaksa menanggung hutang.

 

(b)  Berhutang kerana dirinya atau keluarganya pada melakukan perkara yang diharuskan syarak dibolehkan memberi zakat kepadanya jika dia tidak mampu menjelaskan apabila sampai tempohnya.

 

(c)  Berhutang kerana menjamin hutang orang lain, jika jaminan dibuat dengan izin orang yang berhutang, diberikan zakat kepadanya dengan syarat kedua-duanya papa atau susah dan jika jaminan dibuat tanpa izin orang yang berhutang tiada jika ia susah atau papa diberikan zakat kepadanya.

 

(d)  Berhutang kerana membuat masjid atau kerana melepaskan tawanan Islam, maka diberikan kepdanya zakat. (2)

 

Fisabilillah

 

Fisabilillah atau orang yang berperang pada jalan Allah, iaitu mereka yang berperang kepada Allah tanpa mengambil sebarang upah (gaji) daripada imam.

 

Zakat hendaklah diberikan kepada mereka walaupun kaya kerana memberi pertolongan di dalam menghadapi perang. Berperang Fi Sabilillah adalah satu daripada  perkara yang termasuk dalam fisabilillah.

 

Sebenarnya setiap perkara yang dilakukan bertujuan untuk menegakkan agama Allah atau sebarang kerja yang dibuat untuk kepentingan syariat Allah adalah dalam srti fisabillah dan berhak menerima zakat dan galakan supaya zakat diberi kepadanya.

 

Tetapi jika negara Islam berperang dengan kafir maka bahagian asnaf fisabilillah hendaklah diberi kepada urusan peperangan terlebih dahulu. (3)

 

Mualaf

 

Negeri Selangor memberi juga zakat kepada muamlaf (saudara baru) tetapi untuk selama lima tahun sahaja dari tarikh memeluk Islam.

 

Miskin

 

Jabatan Agama Islam juga telah menentukan garis kemiskinan dan menentukandefinasi 'kecukupan' sebagai pengukur kepada tahap kemiskinan minima dan maksima yang melayakkan mereka menerima habuan zakat.

 

Lembaga Zakat Selangor misalnya menggunakan kaedah had al-kifayah bagi memudahkan cara untuk menentukan seseorang itu layak atau tidak menerima wang zakat pada tahun semasa.

 

Di dalam erti kata lain, kaedah had al-kifayah ini bertujuan untuk melihat pendapatan sesebuah keluarga berbanding kegunaan isi rumahnya atau menentukan sama ada seseorang itu termasuk dalam kategori fakir, miskin atau kaya.

 

Penentuan asnaf

 

Pada hukum asalnya anak yatim, anak tiri, ibu tunggal, orang cacat anggota, penghidap penyakit kronik, orang gila, balu, warga emas dan pengemis bukan dari kalangan asnaf yang menerima habuan zakat.

 

Bagaimanapun, ada kalanya seorang anak yatim juga ialam seorang saudara baru yang miskin. Begitu juga adakalanya seprang bukan dari kalangan asnaf yang berhak menerima wang zakat, akan tetapi beliau berhak menerima zakat sekiranya diberi tugas sebagai amil.

 

Ada kalanya seseorang akan diberi dua kali habuan zakat apabila dilantik sebagai amil dan pada waktu yang sama juga ialah seorang fakir atau miskin.

 

Tanpa danya satu garis paduan yang jelas maka kesilapan akan berlaku dalam pengagihan wang zakat kepada golongan asnaf ini terutama apabila pengagihan tersebut tidak dilakukan secara berhati-hati.

 

Di Selangor terdapat sebanyak 112 jenis bantuan berdasarkan kepada keperluan asnaf zakat yang merangkumi enam aspek utama (asas kehidupan insan) iaitu keperluan kepada perlindungan, makanan, pakaian, perubatan, pengangkutan dan juga pendidikan.

 

Dalam erti kata lain, peruntukan wang zakat di Selangor turut diagihkan juga kepada golongan yang tidak ada rumah atau tempat berlindung selaras dengan kehendak syarak.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud:

 

"Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal dan Dia menjadikan bagi kamu dari kulit binatang-binatang ternak, kehmah-khemah (tempat berteduh), yang kamu mendapatinya ringan (di bawa ke amna-mana) semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti dan (Dia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binantang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatau masa." (Surah al-Nahl: 80)

 

Untuk itu bagi tahun 2010 sahaja LZS telah membelanjakan sebanyak RM12.92 juta bagi tujuan pembinaan rumah ini manakala pada tahun 2009 pula sebanyak RM 10.27 juta dan 2008 pula RM2.99 juga diperuntukan. Selama tiga tahun ini sahaja sebanyak lebih 500 unit rumah telah dibina.

 

LZS juga telah memperuntukan sebanyak RM7.63 juta bagi tujuan pembelian pangsapuri bagi menangani kemelut kemiskinan bandar yang meliputi sejumlah 180 unit isi rumah di seluruh Selangor.

 

Selangor juga telah melakukan suatu perubahan yang menarik di dalam isu pengagihan wang zakat kepada asnaf-ansaf yang layak di negeri berkenaan. Misalnya di dalam aspek perubatan, Selangor juga telah memberi keutamaan berbanding dengan aspek-aspek lain.

 

Di bawah jenama SEPII, LZS memastikan mereka yang layak hendaklah disantuni dengan biayai perubatan yang optimum. Tanpa sokongan kewangan, maka umat Islam yang berpendapatan sederhana sekalipun gagal memperolehi rawatan yang sesuai dan ini pastinya memberi kesan kewangan yang serius dan seterusnya membuka ruang kepada dampak sosial yang berisiko kepda diri dan keluarga.

 

LZS juga telah memperuntukan wang agihan zakat yang besar kepada sektor sosial (fakir, miskin, muallaf sama ada berbentuk wang tunai, makanan bantuan bulanan, bantuan sempena bulan Ramadan, mengatasi gejala murtad, penyelewangan akidah, keruntuhan moral dan akhlak) sektor hutang (keperluan peribadi, keluarga, badan kebajikan yang terhutang).

 

Selangor juga telah melantik ribuan amil bagi bantuan proses pembancian dan pemilihan fakir miskin, proses semakan dan siasatan. Bagitu juga Selangor telah membuat pelbagai pembaharuan dalam mengkategorikan asnaf-asnaf zakat dan bentuk-bentuk bantuan yang dibarikan kepada mereka.

 

Selangor telah mengambil langkah kawalan bagi mempastikan zakat diagihkan kepada asnaf yang layak, agihan yang betul dan menepati tempoh masa yang ditetapkan mengelakkan dari berlakunya penyelewengan, pembayaran berulang, ketirisan, salah guna wang zakat dan pembaziran dalam belanja pengurusan.

 

Selangor juga telah mematuhi prosedur yang telah ditetapkan oleh SIRIM, jumlah tempoh masa mengujudkan kaunter Zakat Express, dan mencari jalan untuk mengelakkan dari kelewatan dalam urusan zakat di negeri itu.

 

Selangor juga menentukan kuasa dan melantik pegawai yang bersesuaian bagi meluluskan suatu permohonan berdasarkan kepada jumlah wang yang terlibat. Lembaga Zakat Selangor mengamalkan sikap terbuka, bersedia menerima pandangan teguran, dan kerjasama orang ramai bagi memastikan tidak berlakunya keciciran dalam urusan agihan zakat ini.

 

Menyelewengkan wang zakat adalah berdosa besar dan LZS seboleh mungkin akan memastikan wang zakat diagih secara adil, telus dan amanah.

 

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. daripada Anas bin Malik. r.a. pernah melaporkan seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. : "Apabila aku menyerahkan zakat kepada utusanmu, apakah aku sudah bebas daripada tanggungjawab zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya? Rasulullah s.a.w. menjawab; "Benar apabila engkau telah menunaikan zakat itu kepada utusanku maka engkau telah bebas daripada tanggungan zakat itu kepda Allah dan Rasul-Nya. Dan engkau sudah mendapatkan pahala-Nya, sedangkan dosanya ditanggung orang yang menyelewengkan (yakni para amil yang bertanggungjawab menguruskannya)." (Hadis riwayat Ahmad)

 

Jika semua wang zakat di negeri-negeri seluruh negara dapat diagihkan dengan betul mengikut matlamat sebenar, maka umat ISlam yang menghadapi pelbagai masalah ekonomi, sosial, akidah, kesihatan, peruhmahan akan dapat mengatasi kesempaitan hidup mereka tanpa mengharapkan sumbangan dari agama lain.

 

Dengan ini imej ISlam sebagai agama yang lengkap dan sempurna dan diredai merasakan keindahan syariat Islam ini sebagai agama yang benar-benar sesuai untuk menjadi anutan kepada semua bangsa dan suku kaum manusia sejagat.

 

Penutup

 

Untuk mencapai maksud tersebut maka usaha tranformasi perlu dibuat kepada sistem pengagihan wang zakat di negara ini dan negara Islam umumnya.

 

Bagi mengelak dari sebarang kecuaian, penyelewengan dan ketidaktelusan dalam urusan pengagihan wang zakat, maka institusi zakat perlu dilengkapkan dengan tenaga mahir, peralatan dan kemudahan ICT, sistem perakunan yang kemas serta data maklumat yang lengkap mengenai umat Islam di dalam seebuah kariah dan negara sama ada sari segi biangan ahli rumah dalam sesebuah keluarga, latar belakang ekonomi, jumlah pendapatan anak-anak, jumlah isteri, harta yang dimiliki, tahap kesihatan, perumahan, aset pengangkutan dan lain-lain maklumat yang dikemaskini dari semasa ke semasa.

 

-Tamat-

 

Rujukan:

(1)  Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, "Pengenalan Ibdat Zakat" hal 3-4.

 

(2) Al- Sheikh Muhammad bin Ismail Daud Fathani., Matlaal Badrain wa Majma` al-Bahrain, (Edit) Mohammad Mukhtar bin Shafie, Jil 1 Jabatan Mufti Negeri Selangor, 1430H/2009M.

 

(3) Al-Sheikh Muhammad bin Islami Daud Fathani, hal 165.