Tel: 03-6188 4064 | E-Mel: info@yayasanmuslimin.org






Dikemaskini pada: 2017-09-30 21:32:13 | Ditulis oleh : Editor | Dibaca : 36

Pusaka Mengapa Bahagian Lelaki Melebihi Bahagian Perempuan?

Oleh: Ustaz Md Yazid Ahmad


Saya sering kali ditanya tentang bahagian lelaki yang lebih besar berbanding bahagian perempuan dalam pusaka Islam. Mengapa kaum lelaki begitu istimewa hingga diberi bahagian yang menyamai dua bahagian perempuan? Adakah kaum perempuan golongan kelas kedua, dalam undang-undang pusaka Islam? Adakah faraidh tidak perhatin kepada kaum Hawa?

 

Benarkah faraid mengamalkan sikap menindas kaum wanita dan menafikan hak keadilan sosial mereka dalam pemilikan harta  melalui pembahagian harta Pusaka?

 

Sebenarnya, kita perlu berhati-hati dalam mengutarakan pertanyaan sebegini agar tidak disertai dengan hawa nafsu dan bisikan syaitan yang sememangnya sentiasa menimbulkan perasaan keliru dan ragu-ragu dalam hati manusia. Pertanyaan sebegini ditakuti boleh mengugat aqidah kita, nauzubillah min zalik.

 

Hakikatnya, Islam adalah agama yang penuh dengan keadilan. Matlamatnya setiap hukum syarak yang disyariatkan oleh Allah SWT adalah untuk memberi maslahat dan keadilan (al-`adalah) kepada semua umat manusia. Kesyumulan keadilan adalah menyeluruh meliputu segenap aspek kehidupan manusia khususnya perkara-perkara yang berkaitan dengan harta pusaka yang sememangnya berteraskan kepada hubungan kekeluargaan. Signifikan konsep keadilan dalam undang-undang pusaka Islam (faraid) tergambar melalui pengiktirafan hak-hak waris lelaki dan perempuan sebagaimana yang termaktub dalam a-Quran al-Karim.

 

Konsep keadilan undang-undang pusaka Islam dalam hubungan kekeluargaan yang dipancarkan menerusi ayat-ayat al-Quran mengenai pusaka merupakan pengiktirafan peranan dan tanggungjawab lelaki dan perempuan seimbang dengan hak dan kadar yang telah ditetapkan. Oleh sebab itu, keadilan dalam pengagihan hart apusaka tidak semestinya sama rata atau sama banyak antara ahli-ahli waris. Ini dapat dibuktikan dari pelbagai sudut seperti sumbernya yang bersifat qati, dasar yang jelas, penentuan ahli waris dan hak meeka yang fleksibel (mengikut keadaan kes) berdasarkan tanggungjawab mereka dalam keluarga dan masyarakat.

 

Kesemua peraturan ini membentuk satu undang-undang pusaka Islam yang unik yang dapat  menjamin keadilan kepada semua ahli waris yang berhak yang terdiri daripada lelaki dan perempuan dalam pengagihan pusaka si mati.

 

Kekuatan dan Kesusian Sumber Undang-Undang Pusak Islam

 

Sumber yang menjadi tunjang kepada undang-undang pusaka Islam adalah al-Quran, sunah dan ijmak.

 

Terdapat dua bentuk ayat dalam al-Quran al-Karim yang berkaitan dengan pusaka iaitu:

 

Pertama, menjelaskan hak-hak ahli waris dalam pusaka secara umum (ayat 7 surah an-Nisa`, ayat 75 surah al-Anfal dan ayat 6 surah al-Ahzab).

 

Kedua, ayat dalam surah al-Nisa` (ayat 11, 12 dan ayat terakhir daripada surah yang sama iaitu atau 176) yang menerangkan secara terperinci tentang ahli-ahli waris dan kadar bahagian masing-masing. Ayat-ayat inilah yang menentukan hukum dan ahli-ahli waris mengikut syarat serta bahagian mereka masing-masing yang bersifat qat`I dan tidak boleh menerima perubahan atau pindaan walaupun sedikit.

 

Berhubung dengan pertanyaan yang dipaparkan tadi, Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

 

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.” (Surah al-Nisa` 4: 11)

 

Firman Allah SWT lagi dalam surah al-Nisa, ayat 176 yang bermaksud:

 

“Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua anak perempuan.”

 

Adakah ayat-ayat ini terhasil daripada kepandaian manusia? Ataupun adakah ayat-ayat tersebut sengaja direka-reka oleh manusia untuk memberi kelebihan kepada kaum lelaki? Sudah tentu tidak!

 

Jelas bahawa apabila berkumpul antara waris lelaki dan perempuan, waris lelaki akan mengambil bahagiannya dalam pembahagian pusaka Islam yang menyamai dua bahagian waris perempuan. Ataupun dua bahagian untuk seorang waris lelaki dan satu bahagian untuk waris perempuan, atau dengan kata lain waris perempuan mendapat setengah daripada satu bahagian yang diperuntukan untuk waris lelaki. Kesemuanya ini mempunyai rahsia dan hikmah yang tersendiri, ada yang mampu diungkai oleh manusia dan ada yang tidak disebabkan keterbatasan kakuatan akal dan ilmu yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia yang kekal menjadi rahsia Allah SWT hingga ke hari kiamat.

 

Kedudukan hukum mengenai perwarisan ini (termasuk pembahagian kadar antara lelaki dan perempuan) diperkasakan lagi dengan firman Allah SWT pada bahagian akhir ketiga-tiga ayat tersebut yang bermaksud:

 

“… (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan daripada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Bijaksana.” (Surah al-Nisa` 4: 11)

 

Allah berfirman lagi yang bermaksud: “… (Tia-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan daripada Allah. Dan (ingatlah) bahawa Allah Amat Mengetahui lagi Amat Penyayang.” (Surah al-Nisa` 4: 11)

 

Seterusnya Allah berfirman lagi mafhumnya: “…Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Amat Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Nisa` 4:11)

 

Rahsia Bahagian Lelaki Menyamai Dua Bahagian Perempuan dalam Pusaka

 

Al-Quran telah menetapkan undang-undang dan peraturan bahawa bahagian anak lelaki menyamai dua bahagian anak peempuan. Perintah Allah SWT dalam ayat-ayat mengenai pusaka ini mempunyai hikmah dan falsafah tersendiri yang sukar difahami dan diterima oleh logik akal manusia yang terbatas.

 

Hikmah dan falsafah di sebalik dasar pembahagian itu semata-mata untuk mengimbangi tanggungjawab dan kewajipan lelaki dalam rumah tangga, keluarga, masyarakat dan agama. Seseorang lelaki dipertanggungjawabkan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, menyediakan mahar, memberi mut`ah, tempat tinggal, berjihad, mempertahankan agama dan tanah air dan seumpamanya. Oleh sebab itu, bahagian mereka dalam harta pusaka si mati satu kali ganda daripada waris perempuan. Pembahagian harta pusaka dengan pelbagai tanggungjawab mereka yang ditetapkan oleh syarak adalah satu peraturan yang adil mengikut perspektif Islam.

 

Undang-undang pusaka Islam membezakan antara waris lelaki dan perempuan dalam pewarian kerana adanya hikmah yang tertentu:


a)  Seseorang perempuan dari segi perbelanjaan dan keperluannya sedah terjamin, kerana nafkahnya wajib atas sama ada suami, anak lelakinya, bapanya, saudara lelakinya, datuknya atau kaum kerabatnya yang lain.

 

b)  Seseroang perempuan tidak dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada sesiapapun. Sebaliknya lelaki telah diwajibkan memberi nafkah kepada ahli keluarga dan kaum kerabatnya.

 

c)  Perbelanjaan atau nafkah seseorang lelaki adalah lebih banyak dan komitmennya terhadap harta adalah lebih tinggi. Yakni, keperluan seseorang lelaki kepada harta adalah lebih besar berbanding dengan perempuan.

 

d)  Seseorang lelaki diwajibkan membayar mahar kepada isterinya dan dipertanggungjawabkan memberi nafkah, tempat tinggal, makanan dan pakaian untuk isteri dan anak-anak.

 

e)  Seseorang lelaki juga diwajibkan menyediakan perbelanjaan pendidikan, pelajaran dan perubatan kepada isteri dan anak-anak.

 

Berdasarkan rasional dan hikmah tersebut, maka Allah SWT menentukan bahagian lelaki menyamai dua bahagian atau bahagian suami menyamai dua bahagian isteri dalam pembahagian harta pusaka. Ini merupakan satu bentuk keadilan yang disediakan Allah SWT untuk semua manusia dalam pembahagian pusaka. Allah SWT memberi hak ahli waris perempuan termasuk isteri dalam harta pusaka dan ia merupakan satu nikmat besar kepada wanita.

 

Undang-undang Islam tidak mewajibkan kepada wanita supaya membelanjakan hartanya sama ada untuk dirinya sekalipun mereka kaya atau senang, asalkan mereka mempunyai suami. Seseorang suamilah yang dipertanggungjawabkan memberi nafkah keapda isteri dan anak-anak termasuk tempat tinggal, makanan dan pakaian.

 

Kesimpulan

 

Dengan itu, dapat dirumuskan bahawa signifikan konsep keadilan undang-undang pusaka Islam dalam hubungan kekeluargaan khususnya dalam soal pembahagian harta antara lelaki dengan perempuan terserlah dan tergambar melalui al-Quran al-Karim. Ini adalah pengiktirafan kedudukan dan peranan setiap anggota keluarga.

 

Kadar bahagian yang telah ditetapkan dan telah dijamin haknya tersebut oleh Allah SWT itu merupakan manifestasi kepada keseimbangan peranan, tanggungjawab dan sumbangan lelaki dan perempuan. Semua itu pastinya mempunyai hikmat dari falsafahnya yang tersendiri. Wallahuaklam.

 

-Tamat-