Tel: 03-6188 4064 | E-Mel: info@yayasanmuslimin.org






Dikemaskini pada: 2017-10-16 16:41:07 | Ditulis oleh : Ustaz Zaharuddin bin Abdul Rahman | Dibaca : 104

Insuran Perniagaan HARAM?

Perbincangan mengenai hukum insurans telah dibahaskan begitu panjang lebar oleh para ulama terutama dalam kalangan ulama Timur Tengah. Oleh sebab sistem insurans ini suatu ciptaan yang dikira baru, yakni pada tahun 1666 di England, namun sistem ini hanya berjaya menembusi dunia ISlam Arab sekitar tahun 1830.

 

Berikutan itu fatwa pertama telah dikeluarkan oleh al-Allamah al-Syeikh Muhd Amin (Ibn `Abidin), wafat tahun 1836/1252H). Beliau merupakan fuqaha ulung bermazhab Hanafi di Syria dan dianggap cendekiawan Islam pertama yang mengeluarkan fatwa berkenaan insurans. (Hasyiah Ibn `Abidin, jil. 4, hlm. 170)

 

Insuran konvensional ialah suatu kontrak perniagaan (bisnes) dan termasuk dalam kontrak Pertukaran Kewangan (`Uqud Mu`awadat Maliyyah). Di mana ia mewajibkan syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada pencarum insurans apabila belaku beberapa jenis kemalangan atau musibah yang telah ditentukan dalam kontrak (akad) bersesuaian dengan kadar-kadar tertentu. Ia juga bergantung kepada jumlah caruman pencarum.

 

Kontrak insuran ini mengandungi ciri-ciri berikut:

 

1.  Redha kedua-kedua pihak (antara syarikat insurans dengan pencarum). Ia ibarat satu kontrak perjanjian yang lengkap dan mengandungi aspek ijab dan kabul.

 

2.  Pihak yang memberi insurans. Iaitu pihak syarikat insuran.

 

3.  Pencarum. Iaitu individu yang membayar jumlah tertentu dan yang membuat perjanjian dengan syarikat insurans.

 

4.  Yang menerima manfaat. Iaitu seperti anak, isteri kepada individu atau lain-lain.

 

5.  Bahaya atau musibah. Iaitu jenis-jenis musibah atau kemalangan yang diandaikan telah ditentukan dalam kontrak, seperti kecurian, kebakaran, kecederaan, kematian dan lain-lain.

 

Bentuk-bentuk insuran ini seperti insuran terhadap musibah yang menerima tubuh, insuran nyawa, insuran harta dan pecahannya (kereta, motor, rumah dan lain-lain), insuran kemalangan jalan raya, insuran kerja dan lain-lain.

 

Sebab Utama Insurans Konvensional Menjadi haram

 

Perbincnagan ilmiah mengenai hukum ini sebenarnya memerlukan "basic knowledge" tertentu yang agak kukuh untuk memahaminya dengan sempurna. Bagaimanapun penulis akan cuba memudahkan dalil-dalil ini demi memberikan kefahaman semaksimum mungkin kepda pembaca. Selebihnya perlulah pemaba lakukan kajian dan rujukan kepada ilmuan takhassus dalam bidang fiqah di universiti-universiti bagi mendapatkan penjelasan dengan lebih terperinci.

 

Sungguhpun begitu, untuk mendapat kefahaman sepenuhnya dalam bab ini, pembaca mestilah mempunyai ilmu asas berikut:

 

a) Pembahagian kepada aqad mu`awadat (pertukaran) dan tabarru`ah (derma atau sumbangan).

 

b) Riba dan pembahagiannya.

 

c) Syarikat jual beli dalam ISlam.

 

Menurut  majoriti kumpulan ilmuan dan ulama Islam, insurans konvensional ini adalah haram kerana terdapat unsur riba yang jelas dalamnya.

 

Huraian: Riba jelas wujud, apabila syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada si pencarum yang ditimpa mussibah. Ia dianggap riba kerana wang (daripada pencarum) berbalah wang (daripada syarikat) dengan jumlah yang berbeza, padahal wang merupakan item ribawi (usurious items) sebagaimana enam (6) item yang telah disebutkan Nabi dalam hadisnya.

 

Nabi s.a.w. telah mensyaratkan dengan jelas dan terang, apabila bermuamalat antara dua item ribawi yang sama jenis (contoh di sini adalah wang RM daripada pencarum dengan wang RM daripada syarikat insuran), ia mestilah terikat dengan syarat:

 

a. Sama nilai (mathalan bi mathalin).

 

b. Diserahkan di ketika muamalat dilakukan (yadan bi yadin).

 

Syarikat ini bersumber daripada hadis berikut:

 

"Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Jangan kamu jual emas dengan emas kecuali bersamaan nilaian dan timbangannya. Jangan kamu melebihkan salah satu daripadanya di atas yang lain." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

"Jangan kamu jual emas dengan pulangan emas, perak dengan pulangan perak kecuali (mestilah ia) dalam timbangan yang sama, nilaian yang sama..." (Riwayat Muslim)

 

Maka setiap perbezaan nilai (dalam item ribawi) dianggap riba al-fadl yang diharamkan (tahrim wasa`il). Apabila pencarum mendapat pulangan wang dengan jumlah berbeza maka berlakulah riba al-fadl rus niaga dua item ribawi.

 

Manakala pembayaran bertangguh dalam dua barangan ribawi adalah riba al-nasi`ah yang diharamkan secara jelas oleh Allah SWT dalam al-Quran. Dalam hal insurans sudah tentulah berlaku penangguhan, iaitu apabila pencarum terkena musibah barulah akan dibayar jumlah tertentu. Inilah yang dinamakan riba al-nasi`ah.

 

Prof. Dr. Muhd Baltaji, ualam besar di Universiti al-Qaherah (telah meninggal dunia) menjelaskan bahawa kontrak insurans ini sama sekali tidak boleh lari daripada riba al-nasi`ah ini. Beliau juga menegaskan bahawa mana-mana hujah untuk lari daripada anggapan riba ini adalah suatu helah yang tidak sah menurut pandangan syarak. Jelasnya, insuran mempunyai kedua-dua jenis riba.

 

Walaupun ada kalanya pencarum tidak berniat mencari keuntungan daripada carumannya bahkan hanya untuk berasa lebih selamat terhadap keretanya, rumahnya, ahli keluarganya dan sebagainya, tetapi ia tetap dianggap riba. zahir urus niaga insuran tadi cukup untuk mengkategorikan ia sebagai riba, walaupun maksudnya tidak selari dengan riba yang sebenarnya (iaitu mencari keuntungan).

 

Dalam beberapa kes yang telah ditemui, terdapat individu yang sengaja membayar kilangnya akibat perniagaan yang rugi bagi meraih wang insurans, atau membunuh ahli keluarga untuk mendapatkan wang insurans bernilai jutaan ringgit dan lain-lain kes.

 

Riba juga boleh berlaku dengan jelas apabila wang caruman tersebut diperniagaakan oleh syarikat lain dengan kadar faedah tetap yang diharamkan (biasanya di bank konvensional, bukan secara mudarabah), atau mana-mana syarikat yang bermuamalat secara riba. BErlakulah pertambahan wang caruman hasil simpanan wang tadi. MAlah lebih teruk sekiranya siarikat insurans meletakkan wang itu dalam syarikat yang melakukan urus niaga haram seperti arak, judi dan lain-lain.

 

Wujud Gharar

 

Menjawab persoalan di atas, akad menjadi perkara utama yang diubah. Insurans konvensional menggunakan akad peraturan milik harta (aqad mu`awadat maliyyah) yang menyebabkan akad itu dikira sebagai akad jual beli. Dalam Islam sebagaimana yang perlu kita fahami, akad jual beli memerlukan kejelasan dalam:

 

1. Penjual.

2. Pembeli.

3. Benda yang dijual.

4. Harga.

 

Dalam konteks insuran konvensional ia seperti berikut:

 

Penjual: Syarikat insurans.

Pembeli: Pencarum

Benda yang dijual: Jaminan kewangan jika berhadapan musibah tertentu.

Harga: RM xxx setahun.

 

Daripada empat rukun jual beli tersebut syarikat insurans mempunyai masalah dalam bab benda yang dijual. Ini kerana apabila si pembeli membeli jaminan wang, ia dikira pertukaran mata wang RM dengan RM. Ketika itu ia sepatutnya menuruti syarat yang telah ditetapkan oleh Baginda s.a.w. iaitu serah terima dan jumlah yang sama. Bagaimanapun, hal ini sudah tentu tidak akan berlaku, kerana:

 

a. Si pembeli (pencarum) akan melatakkan wangnya hari ini, dan jumlah RM jaminan itu pula hanya akan diberikan kemudian. Ini menyebabkan para ulama menggangapnya sebagai ribah al-nasi`ah.

 

b. Si pembeli juga tidak tahu berapakah nilai jaminan yang bakal diperolehinya. Walaupun nilainya telah dinyatakan dalam skim insurans ini, tetapi keperluan akad jual beli memerlukan si pembeli mengetahui dengan tepat berapakah nilai yang akan diperolehinya. Maka sudah tentu ini tidak akan dapat diberitahu oleh syarikat kerana musibah belum berlaku. MAka di sini wujud unsur "gharar". Malah gharar juga dari sudut pembeli yang tidak pasti adakah tahun itu akan berlaku kemalangan dan memperoleh benda yang dibelinya.

 

c. Ia juga dianggap judi kerana mempunyai elemen pertaruhan, iaitu meletakkan sejumlah wang bagi memperolehi sesuatu yang tidak pasti, dengan risiko wang yang diletakkan hangus yakni tidak dikembalikan.

 

Sepakat Ulama

 

Pengharaman insuran konvensional ini telah disepakati oleh para ulama antaranya:

 

1. Al-Syeikh al-Allamah Muhd Amin Ibn Abidin (meninggal 1836M).

 

2. Al-Syeikh al-Imam Muhd Abu Zuhrah (meninggal tahun 1972, profesor syariah di Universiti Kaherah, dianggap ualama terulung dalam ilmu fiqah).

 

3. Al-Syeikh al-Imam Muhd `Abduh (menurut kaul yang lebih sahih).

 

4. Al-Syeikh Muhd Bukhait al-Mut`ie (bekas Mufti Mesir, meninggal 1935M).

 

5. Al-Syeikh Muhd al-Ahmadi al-Zawahiri (bekas Syeikh al-Azhar).

 

6. Al-Syeikh Prof. Dr Yusuf al-Qardawi(ulama dan dai terkemuka di dunia Islam hari ini, Prof, Syarih di Universiti Qatar).

 

7. Al-Syeikh Prof. Dr. Muhd Baltaji (Profesof Fiqah di Universiti Kaherah, dianggap fuqaha teralim ketika ini).


8. Prof. Dr. Muhd Sulaiman Asqar (Profesor Fiqah di Universiti Jordan dan ulama terkenal di Jordan kini).

 

9. Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli (profesor di Universiti Damshiq, Syria, ulama terkenal di dunia).

 

Beberapa nadwah, mutamar dan mesyuarat yang menggabungkan para ulama terulung di seluruh dunia telah beberapa kali diadakan, antaranya kontrak insuran juga dibincangkan. Antaranya adalah:

 

1. Muktamar Agung Berkenaan Ekonomi Islam bersidang kali pertama tahun 1976 di Makkah. Peserta hampir 200 para ulama, profesor syariah dan tokoh-tokoh ekonomi.

 

Insuran adalah salah satu topik perbincangan. Keputusan merekaa dalah insuran jenis perniagaan (konvensional) haram. Sebab utamanya adalah riba dan gharar.

 

2. Majlis Kesatuan Ulama Besar bermesyuarat pada tahun 1977, di Arab Saudi. Keputusan: INsurans jenis perniagaan adalah haram.

 

3. Majma` al-Fiqah al0Islami al-`Alami (Kesatuan Ulama Fiqh Dunia) bersidang pada tahun 1979 di Makkah. Keputusan Majoriti: Insuran jenis perniagaan adalah haram sama ada ke atas barangan perniagaan, nyawa dan lain-lain daripada jenis harta.

 

4. Kesatuan Ulama Fiqah Sedunia (Majma` al-Fiqh al-Islami) sekali lagi bersidang pada 28 Disember 1985 di JEddah, juga memutuskan sekali lagi pengharaman insuran jenis perniagaan.

 

Bagaimanapun Majma` Fiqh secara ijmak mengharuskan isnuran jenis kerjasama (ta`awuni) atau takaful dan mencadangkan ia sebagai alternatif insurans perniagaan dan diseru seluruh umat Islam menggiatkannya di negara masing-masing.

 

Jelas di sini, pendapat jumhur kelihatan terlebih kuat daripada padnangan kumpulan kecil Fiqaha. Amat sukar untuk mendapat kewajaran bagi individu biasa bagi menfatwakan sebaliknya setelah diulas sebegitu terperinci oleh kumpulan besar ulama semasa.

 

-Tamat-