Tel: 03-6188 4064 | E-Mel: info@yayasanmuslimin.org






Dikemaskini pada: 2017-11-30 13:39:04 | Ditulis oleh : Editor | Dibaca : 27

Kufur, suka bohong tidak dapat hidayah

Oleh: Ahmad Shukri Yusoff (Perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources)


Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai rasul Allah! Janganlah engkau menangung dukacita disebabkan orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang yang erkata dengan mulutnya: Kami tetap beriman, padahal hatinya tidak beriman." (Surah al-Maaidah, ayat 41)

 

Rasulullah SAW diutuskan dengan membawa kebaikan untuk umatnya, berita gembira kepada orang Mukmin, amaran bagi orang kafir. Rasulullah SAW sangat menginginkan kaumnya mendapat petunjuk dan hidayah.

 


Orang mudah bersifat kufur daripada golongan munafik yang mengaku beriman hanya sebagai pemanis mulut, namun sebenarnya mereka tidak beriman dengan bersungguh-sungguh. Mereka ialah orang yang menampakkan kebaikan dan menyembunyikan keburukan. Ibnu Juraij berkata, orang munafik ialah perkataannya menyalahi tindak-tanduknya dan batinnya bercanggah dengan zahirnya.

 

Sifat keperihatinan yang luar biasa menyebabkan Baginda SAW sedih kepada sesiapa yang keluar garis keimanan. Baginda memberatkan dirinya dalam urusan dakwah mengatasi kemampuan yang ada bahkan melebihi apa yang dituntut kepadanya.

 

Teguran kepada nabi

 

Abu Hayyan berkata, ayat itu diturunkan untuk menghiburkan Nabi Muhammad SAW dan meringankan rasa dukacitanya terhadap sikap mereka yang mencari kekufuran dan mendedahkan hakikat diri mereka supaya Baginda SAW tidak menaruh harapan tinggi mereka akan beroleh petunjuk.

 

Seperti diketahui, Baginda tidak dituntut melainkan untuk menyampaikan risalah, manakala hidayah itu adalah kurniaan dan pilihan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bemaksud:

 

"Kalau kami mahu, tentulah Kami akan turunkan jepada mereka satu mukjizat dari langit, yang menjadikan mereka tunduk kepadanya." (Surah as-Syu`ara, ayat 4)

 

Disebabkan  terlalu mengharapkan petunjuk untuk kaumnya, Allah SWT menegur Nabi Muhammad SAW kerana itu akan membebankan dirinya. Teguran itu bukan kerana kelemahan ataupun kesilapan Baginda, tetapi ia mengatasi kemampuannya. Keimanan orang munafik hanya dibibir. Demikan juga orang Yahudi, suka mendengar berita dusta dan palsu.

 

Suka cerita bohong

 

Mereka suka memesongkan dan meminda hukum Allah SWT. Mereka tidak mahu hadir dalam majlis Nabi kerana sombong dan terlalu ingin menunjukkan permusuhan seperti Yahudi Bani Khaibar.

 

Golongan suka mendengar cerita bohong ialah orang Yahudi Bani Quraizah yang datang menemui Baginda, mereka mengubah dan meminda hukum Allah SWT dalam kitab Taurat serta menggantikannya dengan hukum lain.

 

Ibnu Abbas berkata, hukum yang mereka pinda ialah hukum hudud ditetapkan dalam kitab Taurat. Mereka meminda rejam dan menggantikannya dengan hukuman sebat serta menghitamkan muka.

 

Mereka berkata kepada pengikut, jika disampaikan kepada kamu hukum dalam Taurat seperti yang dipinda ini, bolehlah kami terima. Jika disampaikan kepada kamu hukum asal dalam kitab Taurat, maka jangan sekali-kali kamu menerima hukum itu.

 

Nabi Nuh AS berdakwah kepada kaum, isteri dan anaknya selama 950 tahun, namun hanya sedikit yang beriman kepada Allah SWT. Ini bukanlah petanda Nabi Nuh gagal, tetapi bukti tidak ada yang dapat memberikan hidayah kecuali dengan izin Allah SWT.

 

Apabila jiwa sering berkecipung dalam perkara kebatilan, pembohongan dan kejahatan, suka menderhaka dan melakukan perbuatan merugikan, maka kesesatannya menjadi perwatakan. Hatinya tidak lagi mempunyai sebarang kemanisan untuk menerima kebenaran. Al-Quran memberi manfaat kepada hati yang hidup, mengetahui kebaikan di sebalik petunjuk, bimbingan-Nya serta mengikut bimbingan dan petunjuk itu.

 

Mereka ini umpama manusia yang apabila muncul kilatan cahaya kebenaran di hadapan, mereka akan segera menagkapnya sehingga hati dan sanubari dipenuhi cahaya kebenaran itu. Itulah orang yang dianugerahkan Allah SWT taufik dan hidayah, yang bakal memperoleh kemenangan serta kebahagiaan.

 

-Tamat-

 

Sumber: Berita Harian, Jumaat, 24 November 2017 (IBRAH)