Tel: 03-6188 4064 | E-Mel: info@yayasanmuslimin.org






Dikemaskini pada: 2018-01-08 12:40:27 | Ditulis oleh : Editor | Dibaca : 28

Istiqamah itu memutihkan kepala!

Oleh: Abudllah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz (Pensyarah di Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM dan Timbalan Presiden Murshid.


Tidak semudah menuturkan di lidah, istiqamah atau sentiasa teguh dengan Islam memerlukan sesuatu yang sangat lebih. Lebih segalanya, lebih dari sudut akidah, akhlak dan amal soleh.

 

Orang yang istiqamah akidanya tetap bernafas dengan tauhid. Wapau apa yang datang melanda, Tuhannya hanya Allah. Akhlak sentiasa dijaga agar dirinya menjadi cermin Islam kepada yang lain. Amal solehnya juga konsisten lebih baik daripada amalan bertimbun tetapi bermusim.

 

Sabda Rasulullah SAW ini dipegang dengan teguh:

 

"Aisyah r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya apakan amalan yang paling dicintai Allah? Baginda menjawab: Amalan yang beterusan dilakukan walaupun sedikit jumlahnya," - Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.

 

Bukan Sekadar Hiasan

 

Arahan istiqamah bukan calang-calang! Ia ditegaskan khusus oleh Allah dalam al-Quran. Pastinya ayat yang mengarahkan istiqamah bukan untuk menjadi hiasan dinding tetapi perlu dipasak ke dalam hati:

 

"Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepdamu, dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum Allah,; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan," (Hud [11:112]).

 

Rasulullah SAW pun beruban apabila mengenangkan surah Hud: (Isi kandungan) surah Hud, al-Waqiah, al-Mursalat, al-Naba` dan al-Takwir menyebabkan aku beruban," - Sunan Tirmizi.

 

Mengapa sampai beruban? Ia adalah kiasan kepada betapa beratnya isi kandungan semua surah tersebut. Menurut Abdullah Ibn `Abbas, ayat yang mengarahkan Baginda agar sentiasa istiqamah itu sangat sukar dilaksankan sehingga seakan ia memutihkan kepada Baginda SAW (Tafsir al-Razi).

 

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW berpesan kepada sahabatnya agar terus istiqamah dalam beriman kepada Allah:

 

"Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah beritahu padaku suatu perkara dalam Islam (yang cukup untukku bertanya padamu) tanpa aku perlu bertanya sesiapapun selepasmu. Rasulullah menjawab: Sebutlah aku beriman kepada Allah, kemudian berpegang teguhlah (dengannya)," - Musnad Ahmad.

 

Bukan setakat Rasulullah SAW, Nabi Musa dan Harun a.s. turut diarahkan agar istiqamah dalam perjuangan meeka menentang kezaliman Firaun:

 

Allah berifirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua, oleh itu hendaklah kamu tetap (mennjalankan perintah-Ku seterusnya)", dan janganlah kamu menurut jalan orang yang tidak mengetahui (peraturan janji-Ku),: (Yunus [10:89]).

 

Elakkan sempitkan pengertian

 

Dalam memahami tuntutan istiqamah, kita tidak seharusnya mengurang maknanya dalam kepompong kecil sahaja. Jangan ingat tuntutan istiqamah hanya berlegar dalam kandang politik, sosial, ekonomi atau penghayatan sunnah sahaja. Kita perlu pancarkan makna istiqamah secara menyeluruh seiring dengan sifat Islam yang syumul. Tuntutan istiqamah perlu meliputi segala perkara dan ruang hidup manusia.


Jika ada hafiz al-Quran yang sitiqamah mengulang kaji hafazan tetapi gagal memahami atau menghayati ayat yang saban hari dibacanya, dia belum benar-benar istiqamah.

 

Jika ada pejuang politik Islam, pejuang akidah atau pejuang amalan sunnah Rasulullah SAW yang istiqamah dalam medan masing-masing tetapi gagal istiqamah dengan akhlak ketika berselisih pandangan, mereka belum benar-benar istiqamah.

 

Kesimpulannya, seruan fastaqim atau tetaplah istiqamah dalam ayat 112 Surah Hud terdahulu perlu merangkumi seluruh isi Islam merangkumi akidah, syariat dan akhlak.

 

Jika kita pernah terbabas daripada landasan istiqamah yang sebenar, usahlah bimbang kerana manusia tidak terlepas daripada kesilapan. Apa yang penting, perlu sentiasa memperbaharui istiqamah seiring dengan istighfar kepada Allah sebagaimana firman-Nya:

 

"Katakanlah (wahai Muhammad): "sesunguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus( yang membawa kepada mencapai keredaan-Nya mengampuni (dosa kamu yang telah lalu). Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu yang lain)," (Fussilat [41:6]).

 

Allah itu Maha Adil. Walau istiqamah sangat sukar dilakukan, namun tuaiannya sangat manis. Ia sudah mula dirasai oleh para pejuang semasa di dunia, setelah melangkah ke alam barzakh dan setelah bangkit di akhirat kelak (Tafsir Ibn Kathir):

 

"Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya engan berkata: "Thuan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepda mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baij terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepda kamu," (Fussilat [41:30]).

 

Marilah kita sama-sama menyingsing lengan, melipat kaki seluar dan mengatur langkah dengan gigih agar mampu terus istiqamah dalam memenuhi tuntutan agama.

 

Agama adalah pakaian insan yang tidak boleh ditinggalkan sehingga mati. Meninggalkan istiqamah dalam sebahagian sudut agama boleh diumpamakan seperti seorang manusia berbaju tanpa seluar, atau berseluar tanpa baju, atau lengkap berbaju dan beseluar tetapi sebelah lengan bajunya hilang, atau lengkap berpakaian tetapi kasutnya hilang sebelah,. Pandangan ini nampak sangat janggal dan pelik. Jauhi kejanggalan ini dan kekallah istiqamah dengan ajaran Islam secara syumul.

 

-Tamat-

 

Sumber: Utusan Malaysia, Isnin, 8 Januari 2018 (Mega Mimbar)